Quantcast
Channel: TUNGKARAN HATI
Viewing all 2032 articles
Browse latest View live

Negara Berpendapatan Tinggi Konon......!

$
0
0
Rumah mampu milik: Mimpi indah tidak kesampaian?
DUA minggu lalu saya tinggal semalam dua di Johor Bharu kerana menjalankan tugas. Dalam perbualan saya dengan le­bih 30 warga korporat dan pengamal undang-undang yang menyertai seminar hartanah yang saya kendalikan di sebuah hotel di bandar raya itu, dapatlah saya simpulkan bahawa pada umumnya rumah yang baharu dibina dan dijual oleh pemaju perumahan di bandar raya itu tidak lagi mampu milik – hanya ‘mampu tengok’.

Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan oleh Pengarah Urusan Khazanah Research Institute (KRI), Datuk Charon Mokhzani pada 25 Ogos lalu bahawa rumah yang baharu dibina dan dijual oleh pemaju perumahan di negara kita sekarang adalah seriously unaffordable (teruk sekali tidak mampu dibeli).

Beliau turut menegaskan sekiranya kerajaan gagal menangani isu ini dengan segera, 40 peratus warga negara ini di peringkat bawahan dan 40 peratus di peringkat pertengahan akan memerlukan social housing di masa depan.

Situasi yang tidak menyenangkan ini wujud di bandar raya Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Difahamkan mengikut data Ja­batan Perangkaan Malaysia, kini terdapat 7.3 juta rumah di seluruh negara, manakala mengikut Pusat Maklumat Hartanah Negara (National Property Information Centre, NAPIC), terdapat 4.3 juta rumah. Wujud perbezaan tiga juta unit rumah ini kerana NAPIC hanya mengambil kira rumah yang dibina selepas 1970, di mana cukai setem dibayar untuk urusan pindah milik.

Memandangkan populasi negara ini kini hampir mencecah 30 juta orang, Charon berpendapat kerajaan perlu mencari jalan bagaimana kos membina rumah (yang kini terlalu tinggi) dapat dikurangkan lagi.

Yang menarik perhatian saya dalam laporan KRI itu adalah kenya­taannya bahawa harga rumah yang tinggi menyebabkan harga tanah menjadi tinggi, bukan sebaliknya.

Sebelum ini, kita sering dimaklumkan oleh pihak-pihak tertentu bahawa harga rumah yang tinggi sekarang adalah disebabkan oleh harga tanah yang tinggi. Laporan KRI itu juga menyatakan bahawa walaupun harga binaan sekarang telah menurun, harga rumah masih tidak turun lagi.

Pada 11 September lalu, Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah ada menyatakan bahawa dalam Bajet 2016 (yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada akhir Oktober ini), keutamaan akan diberi oleh kerajaan kepada projek pro rakyat, termasuklah rumah mampu milik yang berkualiti, menerusi beberapa inisiatif dan dasar yang akan diumumkan sedikit masa lagi.

Berikutnya, pada 23 September lalu, Jabatan Perumahan Negara menyuarakan harapan Kerajaan Persekutuan akan meluluskan tambahan 10,000 unit rumah mampu milik di bawah Skim Rumah Saya (My Home Scheme) dalam Bajet 2016.

Mengikut Pengarahnya, Murali Jayabalan, penambahan ini akan menampung permintaan yang kian meningkat oleh warga negara ini yang mahukan lebih banyak lagi rumah mampu milik.

Saya kira ramai masih ingat bahawa sewaktu Perdana Menteri membentangkan Bajet 2013 pada 28 September 2012 lalu, Kerajaan Persekutuan memperun­tukan RM1.9 bi­lion untuk membina 113,000 rumah mampu milik di beberapa lokasi di seluruh negara.

Inisiatif ini akan dilaksanakan oleh PR1MA, Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Jabatan Perumahan Negara.

Sehubungan itu, RM500 milion akan dibelanjakan oleh PR1MA untuk membina 80,000 rumah di beberapa lokasi di seluruh negara, di mana setiap rumah ini akan dijual dengan harga antara RM100,000 dan RM400,000.

Antara lokasi yang dipilih adalah Kuala Lumpur, Shah Alam, Johor Bahru, Seremban dan Kuantan.

Selain itu, PRIMA juga akan mewujudkan dana (Housing Facilitation Fund) bernilai RM500 juta untuk membina rumah dengan kerjasama beberapa pemaju perumahan.

Harga rumah yang dibina di bawah skim ini adalah 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran, dan semua rumah ini akan diagihkan menerusi sistem undi terbuka.

Kita dimaklumkan pada masa itu bahawa mereka yang layak mendapatkan rumah di bawah skim ini mestilah warganegara Malaysia berusia tidak kurang dari 21 tahun, dan punyai pendapatan bulanan isi rumah antara RM2,500 hingga RM7,500 sebulan.

Khabarnya SPNB (yang diberi peruntukan sebanyak RM320 juta) akan membina 1,855 apartmen kos sederhana di Shah Alam dan Sungai Buloh dengan harga jualan antara RM120,000 hingga RM220,000 setiap satu. Selain itu, di bawah skim Rumah Mesra Rakyat, sebanyak 21,000 unit rumah akan dibina dan dijual dengan harga RM65,000 setiap satu, dengan subsidi RM20,000.

Kita juga dimaklumkan pada masa itu Jabatan Perumahan Negara diberi peruntukan RM543 juta untuk melaksanakan 45 projek di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), melibatkan sejumlah 20,454 unit rumah, dibina dengan menggunakan sistem pembangunan industri (Industrialised Building System, IBS).

Rumah dalam kelompok ini akan dijual dengan harga antara RM30,000 hingga RM40,000 seunit, iaitu lebih murah dari harga pasaran (yang dianggarkan sekitar RM120,000 se­unit).

Kerajaan menyatakan bahawa 20 peratus rumah PPR ini akan dikhaskan untuk kakitangan kerajaan dan satu peratus darinya untuk orang kurang upaya (OKU).

Soalnya apakah yang perlu kita lakukan untuk memastikan rumah yang ditawarkan dalam pasaran benar-benar mampu milik? Mengikut satu cadangan, caranya adalah dengan meningkatkan bekalan unit rumah dalam pasaran. Apabila bekalan bertambah berbanding permintaan, harga rumah akan lambat-laun turun.

Walau bagaimanapun, cadangan ini dibantah oleh pihak lain yang menyatakan jika penambahan bekalan ini tidak terkawal ia boleh membawa kepada lambakan dalam pasaran harta (glut in the property market) dan ini mungkin akhir­nya menyebabkan krisis pin­jaman subprima seperti yang berlaku di Amerika Syarikat.

Dua tahun lalu (pada penghujung Oktober 2013), sewaktu kita menunggu kerajaan membentangkan Bajet 2014, kita dimaklumkan bahawa kerajaan bercadang me­nubuhkan Majlis Perumahan Negara (National Housing Council, NHC), yang dianggotai oleh wakil kerajaan persekutuan dan negeri, Jabatan Perumahan Negara, PR1MA, SPNB dan sektor swasta.

Tugas utama majlis berkenaan adalah merangka perancangan yang rapi menyediakan satu juta unit rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana dalam tempoh lima tahun. Ini bermakna pada setiap tahun, 200,000 rumah mampu milik mesti dibina.

Malangnya, mengikut laporan media selama ini sejak tarikh itu, hanya 50,000 unit rumah mampu milik yang dapat dibina setiap tahun.

Dasar Perumahan Negara kita (yang dilancarakan pada tahun 2010) ada menyatakan matlamatnya untuk menyediakan perumahan yang “mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu milik” bagi meningkatkan kelestarian kehidupan rakyat.

Soalnya, apakah dasar ini telah dikuat kuasakan sepenuhnya? (sila lihat Azman Anuar, “Mana penguatkuasaan Dasar Perumahan Negara?” Utusan Malaysia, 21 September 2014).

Nampaknya mimpi indah ge­nerasi muda memiliki rumah mereka sendiri dalam masa terdekat tidak akan kesampaian.


Rangsang Emosi Positif

$
0
0
Emosi mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap kesihatan. Beberapa emosi negatif seperti marah dan bimbang dan kaedah untuk mengawal kesan emosi tersebut telah diulas dalam ruangan yang lepas. Sama seperti emosi negatif, emosi yang positif seperti keseronokkan juga mempunyai pengaruh terhadap tahap kesihatan emosi dan juga fizikal individu.

Tekanan dan masalah yang boleh mencetuskan kepelbagaian emosi negatif adalah perkara normal dalam kehidupan seharian. Kepentingan untuk menangani emosi negatif tersebut adalah jelas. Untuk minggu ini, ruangan ini menyenaraikan beberapa kaedah ringkas untuk merangsang emosi positif.

Tumpuan dan perhatian berfungsi dalam bentuk terpilih. Apabila minda tertumpu terhadap sesuatu perkara, ia akan mengabaikan perkara yang lain. Oleh yang demikian, apabila minda tertumpu terhadap perkara yang negatif, ia akan mengabaikan perkara yang positif dan sebaliknya. Oleh yang demikian, mengalihkan perhatian dan tumpuan minda dari perkara yang negatif kepada sesuatu yang lebih neutral dan menceriakan akan membantu merangsang emosi positif.

Alihkan perhatian
Kaedah-kaedah berikut boleh cuba digunakan untuk mengalihkan perhatian minda daripada perkara yang membebankan dan merangsang emosi diri yang lebih positif.

1 Membaca bahan bacaan yang memberi insipirasi kepada diri
Jika anda berasa tidak bermotivasi dan terbeban dengan masalah, carilah masa untuk membaca buku dan bahan bacaan lain yang dapat memberi inspirasi kepada diri. Buku-buku biografi atau autobiografi kehidupan individu yang telah berjaya boleh dijadikan sumber inspirasi.

2. Cari masa untuk menonton filem dan cerita-cerita kegemaran anda
Cari masa untuk menonton filem dan cerita kegemaran terutamanya filem dengan genre lawak jenaka. Filem-filem lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee contohnya, adalah pencetus emosi positif yang baik. Emosi sering dipengaruhi oleh perkara yang dilihat dan didengar. Oleh demikian, jika anda dalam keadaan sedih dan bermasalah, elakkan daripada menonton filem genre sedih yang boleh menambahkan keamatan emosi tersebut.

3. Elak seketika menonton berita
Paparan-paparan berita kebelakangan ini sering berkait dengan perkara yang membangkitkan emosi negatif seperti marah dan sedih. Oleh yang demikian, elak menonton berita untuk seketika.

4. Bersukan dan bersenam
Bersukan dan bersenam dapat menggalakkan pengeluaran hormon yang menyebabkan perasaan tenang. Selain itu, interaksi sosial yang berlaku semasa sesi senaman dan sukan dapat mencetuskan emosi positif. Pelbagai bentuk aktiviti senam dan sukan yang boleh dipilih sama ada secara bersendirian atau berkumpulan, menjadikan aktiviti ini satu amalan yang dapat memberikan kebaikan jangka panjang terhadap kesihatan yang menyeluruh.

5. Dengar muzik yang memberikan semangat
Kajian menunjukkan bahawa muzik dikenal pasti sebagai medium untuk meningkatkan emosi positif. Luangkan masa untuk mendengar alunan musik kegemaran anda yang dapat menceriakan mood. Bagi umat Islam, mendengar alunan bacaan al-Quran juga dapat menenangkan perasaan.

6. Usahakan impian
Setiap orang mempunyai impian. Jika impian ingin memulakan perniagaan, libatkan diri dengan aktiviti ke arah merealisasikan impian tersebut. Sekadar berimpian tanpa meletakkan sebarang usaha tidak akan dapat merealisasikan impian tersebut.

7. Gunakan teknik pernafasan dalam dan perlahanEmosi yang dialami individu biasanya akan menyebabkan perubahan fisiologi badan seperti peningkatan kadar pernafasan dan kadar degupan jantung. Oleh yang demikian, jika anda berada dalam keadaan beremosi, seperti marah dan kecewa, perlahankan pernafasan dan bernafaslah dalam-dalam. Ini akan meneutralkan emosi dan akan mencetuskan rasa tenang.

8. Senyuman dan gelak tawa
Gelak ketawa dan senyuman adalah perangsang emosi positif yang sangat baik. Ada ketika dalam kehidupan seharian kita dibebani dengan masalah dan tiada apa yang dapat menceriakan diri. Jika berada dalam keadaan tersebut, carilah sesuatu untuk merangsang rasa lucu dan ceria.

9. Luangkan masa untuk melawat tempat yang belum pernah dilawati.
Mengikut kemampuan masing masing, luangkan masa untuk pergi ke tempat menarik berdekatan rumah yang belum pernah dilawati.

10. Amalkan kaedah relaksasi
Relaksasi adalah kaedah merehatkan minda untuk mencapai perasaan ketenangan. Jika berada dalam situasi yang mencetuskan emosi yang negatif, gunakan kaedah membilang dari belakang (contohnya dari 10 ke 1) sehingga emosi negatif tersebut pudar. Gunakan juga kaedah pernafasan dalam dan perlahan seperti yang disebut di atas.

Kaedah-kaedah di atas boleh dicuba untuk merangsang emosi ke arah yang lebih positif dan seterusnya menyumbang terhadap kesihatan diri yang lebih menyeluruh.

Di Mana Pusat Zakat?

$
0
0
Isu Biasiswa pelajar Melayu dan Bumiputera terus dirungutkan.
Beberapa malam lepas seorang bapa berjumpa dengan saya membincangkan perkara yang sama.

Anaknya di Mesir belajar perubatan. Katanya lebih 500 pelajar perubatan Melayu di negara itu kini menderita. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Dia minta tolong bagaimana mahu membantu pelajar-pelajar itu.

Dia pun bukan calang-calang orang. Bekas Presiden GPMS tahun 70an. Bekas guru, bekas pegawai pendidikan. Kini menagih bantuan sana-sini bagi membantu budak-budak itu.

Kebanyakan pelajar itu adalah tajaan sendiri, yang semuanya dihantar sendiri oleh ibu bapa kerana percaya mereka akan dibantu pada tahun kedua selepas memperoleh keputusan tahun pertama.

Namun hampa. Ada yang memperoleh keputusan cemerlang pun tidak dapat bantuan.

Berikut ialah SMS beliau kepada saya:

“Baik budi terhadap asnaf fisabilillah Medic kita di Mesir dengan jati diri hebat merentas huru-hara berjihad menjadi khalifah Allah yang terbaik, Masya-Allah.

Setiap bulan saya terima antara 17-23 asnaf Medic Mesir yang minta infak atasi COLA (sara hidup) me­­reka purata semua mereka RM12,000 setiap bulan sejak 2010. Dengan bantuan 10 sahabat yang sedia beri infak bulanan sejak 2010 berjaya saya tunaikan SOS asnaf tersebut dengan saya sendiri gunakan hampir 60% wang pencen bulanan saya.}

Kebetulan bulan Oktober ini hampir semua sahabat buat ibadah korban maka infak bulanan mereka terbatas dan saya cuma dapat RM6,000 daripada keperluan RM16,000 termasuk RM3,000 infak bulanan saya. Seperti yang telah dibincangkan semalam saya mohon infak RM10,000. Saya juga dah minta daripada lain-lain kawan tapi banyak yang nyatakan ekonomi mereka kini merosot.

Allah saja yang dapat sediakan Syurga Firdaus untuk sahabat-sahabat atas infak RM10,000 kepada asnaf anak bangsa yang amat daif tegal dalam jihad fisabilillah.
MOHON MASUKKAN DALAM BANK AFFIN A/C: 2054 8026 3686 PADA ATAU SEBELUM 16/10/15.

Hj Yusof Hj Mohd Yatim, mantan Presiden GPMS 1972-74&78-82”


Saya bertanya mengapa pelajar-pelajar itu tidak bekerja sambilan dan belajar. Di Mesir katanya bukan se­perti di UK atau US. Tiada kerja di sana dan jika kerja pun keadaannya tidak menyelesakan.

Oleh kerana ini adalah isu ummah kita, maka saya bertanya sana-sini. Seorang bekas hakim mahkamah syariah yang saya kenali mengesyorkan ibu bapa pelajar-pelajar berkenaan mencuba merayu di:

* Baitulmal. Pusat Zakat Wilayah Persekutuan dan Selangor mempu­nyai dana zakat yang terlalu besar. Difahamkan kutipan setahun mencecah ratusan juta hingga berbilion ringgit.

Jika kantung kerajaan, MARA dan agensi-agensi lain sudah surut, maka inilah antara pilihan yang ada bagi ibu bapa itu memperoleh bantuan untuk anak-anak mereka.

Semasa kita membuat potongan gaji untuk zakat, itulah niat kita pun iaitu membantu anak-anak yang memerlukan bantuan untuk pelajaran.

Apa pandangan Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan dan Pusat Pungutan Zakat Selangor. Adakah ia hanya mampu melihat sahaja?

Rujukan: http://www.zakatsela­ngor.com.my/terkini/pc-kutipan-­agihan-2014/

http://www.maiwp.gov.my/i/index.php/berita-maiwp/392-ku­tipan-zakat-wilayah-persekutuan-2013-rm492-01-juta

* Dana Masjid. Saya difahamkan masjid-masjid bertaraf negara, ne­geri dan yang besar-besar mempu­nyai dana kutipan yang besar. Ia juga boleh diberi bantuan kepada golong­an pelajar di Mesir itu.

Mereka haruslah proaktif dan bukan sekadar menyimpan di bawah bantal sahaja. Saya mendapat tahu ada masjid yang mempunyai simpanan berjumlah jutaan ringgit yang boleh disalurkan untuk hal-hal kemas­lahatan sebegini.

Saya mendapat tahu institusi gereja di negara ini juga begitu aktif menjalankan usaha memberi biasiswa besar dan kecil serta dermasiswa kepada jemaah mereka. Di Barat gereja-gereja mempunyai geran bagi bantuan sebegini.

Ia juga sepatutnya dilakukan oleh masjid-masjid kita seluruh negara. Uar-uarkan kepada para jemaah bahawa kutipan derma kita ini akan disalurkan untuk bantuan pelajaran anak-anak kita. Saya pasti orang yang biasa menginfak RM1 akan menambah kepada RM2 dan yang sedekah RM5 kepada RM10 dan begitulah seterusnya pada setiap solat Jumaat.

Akhir sekali bangkitlah umat Islam semua bagi membantu pelajar-pelajar sebegini. Gunakan kuasa kekuatan jemaah kita.

Jika kerajaan tidak lagi berupaya membantu walaupun ia termaktub di bawah Perlembagaan Malaysia ja­ngan ditangisi.

Para jemaahlah yang bertanggung­jawab secara fardu kifayah atas nama ummah untuk membantu.

Bila lagi kita mahu berdiri atas kaki sendiri.

Cuit-Cuit Zaini Hassan

SJK...Fobia Pemimpin Politik Kita!

$
0
0
Sekolah satu aliran bentuk peribadi bangsa

MENGAPAKAH sepatutnya kita menubuhkan sekolah satu aliran?
Jika kita tinjau negara-negara di dunia, khususnya negara maju, membangun dan bertamadun persekolahan mereka adalah satu aliran, termasuk negara tetangga kita Thailand dan Indonesia. Ternyata sekolah satu aliran memberi penekanan yang kukuh terhadap wujudnya satu bangsa, satu bahasa dan perpaduan.

Apa salahnya kita mencontohi negara-negara lain terutama negara maju dan bertamadun demi kemuliaan dan ketamadunan negara kita pula. Seruan supaya kita ‘menoleh ke timur’ kembali, adalah pandangan yang mulia dan bererti buat bangsa dan negara kita.

Namun sesungguhnya ‘penolehan’ tersebut tidaklah semata-mata dari segi ekonomi dan perkembang­an sains dan teknologi, toleh atau pandanglah jua tentang pendidikan negara-negara tersebut yang begitu utuh budaya dan pendidikannya.

Di negara kita, jika sekolah satu aliran ini wujud semenjak awal kemerdekaan, kita percaya soal perkauman tidak akan timbul sepertimana sekarang. Kerana itu Penyata Razak 1956 sewajarnya diguna pakai kembali untuk mewujudkan sekolah satu aliran.

Sangat besar faedah dan kepen­tingan kepada rakyat negara ini me­lalui sekolah satu aliran sepertimana negara-negara maju dan bertamadun itu - selain perpaduan, akan membentuk keperibadian rakyat, di samping terpelihara keharmonian dan kesejahteraan negara.

Justeru kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan sewajarnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mewujudkan sekolah tersebut. Sewajarnya jua tidak bertangguh-tangguh lagi demi memastikan pembangunan, perpaduan dan kesejahteraan negara ini tidak tergugat. Kita bimbang keadaan yang mula berlaku sekarang iaitu soal perpaduan yang agak goyah akan menular lagi 10 atau 20 tahun yang akan datang.

Pihak kerajaan hendaklah berani, tegas dan penuh nekad meskipun negara ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan namun demi keharmonian dan kesejahteraan rakyat, perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Mengikut sejarah, ketika negara kita mula mencapai kemerdekaan, semua kaum atau bangsa bersetuju dengan suatu kemuafakatan iaitu orang Melayu bersetuju memberikan hak warga negara kepada orang bukan Melayu, sebab itu kaum-kaum lain wajar menghormati persetujuan ini dan menerima hakikat kebaikan melalui sekolah satu aliran.

Untuk memastikan wujudnya sekolah ini semua rakyat hendaklah mengakui bahawa di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung.

Faktor utama apabila wujudnya sekolah satu aliran adalah menggunakan satu bahasa iaitu bahasa rasmi negara yang termaktub dalam Perlembagaan Perkara 152 iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Boleh jadi ramai yang memikirkan tentang nasib bahasa kaum lain iaitu Cina dan India. Sudah pasti bahasa-bahasa kaum tersebut dapat dipelajari bersama dalam sekolah satu aliran ini.

Ketika itu anak-anak Melayu juga boleh mempelajari bahasa-bahasa tersebut sepertimana sekian ramai ibu bapa Melayu yang memasukkan anak-anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan (SJK) sekarang, terutama SJK Cina. Kanak-kanak kita daripada pelbagai bangsa akan bergaul dan belajar bersama, maka akan terbentuklah perpaduan yang erat, sepertimana kata pepatah melentur buluh daripada rebungnya.

Ramai cerdik pandai kita, termasuk kalangan bukan Melayu yang menyuarakan hakikat ini seperti Profesor Teo Kok Seong, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud, bekas Pengarah Pelajaran Malaysia dan Mufti Negeri Perak yang begitu beria-ia benar menyeru kerajaan mewujudkan sekolah satu aliran dengan menggunakan bahasa pengantar bahasa Melayu.

Selain itu banyak lagi suara individu seperti Awang Selamat (Mingguan Malaysia), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS), parti politik termasuk Pas dan kita percaya jika dibuat tinjauan, majori­ti rakyat negara ini yang cintakan perpaduan menyokong penubuhan sekolah tersebut.

Penggunaan bahasa pengantar yang satu, tentulah dapat membentuk keperibadian rakyat negara ini. Bahasa adalah jiwa bangsa. Anak-anak kita terbentuk jati diri dan peribadi mencintai bangsa dan negaranya, sepertimana kanak-kanak negara maju dan bertamadun.

Elakkanlah daripada anasir bahasa asing terutama bahasa Inggeris, menguasai dan membentuk peribadi kalangan pemimpin dan ahli-ahli korporat, sehingga mereka kurang meyakini bahasa negara iaitu bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu. Sedangkan bahasa inilah yang membentuk rakyat dan sekian ramai para pemimpin kita suatu ketika dahulu.

Kita dapat menoleh ke Indonesia bagaimana para pemimpin dan rakyatnya, meskipun terdiri daripada sekian banyak bangsa dan suku kaum akan tetapi dapat mengatasi soal-soal perkauman melalui bahasa Indonesia. Jika negara tersebut boleh menyatukan ratusan suku kaum dan bangsa mengapa negara kita tidak boleh? Sedangkan negara kita cuma terdapat beberapa bangsa dan suku kaum sahaja?

Di samping itu, pelajaran sastera perlulah ditunjangi bersama kerana menerusinya dapat membentuk peribadi, sahsiah dan semangat cintakan bangsa, berperikemanusiaan dan mengasuh budi pekerti yang luhur. Jika kita memandang ke Timur khususnya negara Jepun dan Korea, begitu memberi penekanan kepada bahasa dan sastera, rak­yatnya begitu berdisiplin, menghormati ibu bapa dan masyarakatnya.

Sesungguhnya belum terlewat lagi negara kita mewujudkan sekolah satu aliran ini demi mempererat perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negara. Apabila kita menyedari benar-benar kepen­tingan aspek-aspek tersebut maka sebaik-baiknya usaha penubuhan sekolah satu aliran ini hendaklah disegerakan dengan penuh dedikasi dan semangat - berusaha membuat perancangannya sebaik mungkin.

Jika terdapat kalangan yang menentang, pertahankan sebaik-baiknya bahawa perancangan yang dilakukan itu demi perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negara. Pihak yang menentang bererti menentang perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan!

Amatlah kita harap-harapkan agar pihak kerajaan tidak memandang sepi soal ini, kata pepatah sebelum nasi menjadi bubur - ter­utama aspek perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan negara - renungkanlah sedalam-dalamnya kepentingan sekolah satu aliran ini agar kita tidak menyesal nanti.

Pandangan ini ikhlas daripada hati rakyat kepada kerajaan demi pembangunan sistem pendidikan negara kita. Semoga negara kita se­iring dengan sistem pendidikan negara-negara maju dan bertamadun kerana kita amat menyedari bahawa ketamadunan sesebuah negara adalah menerusi sistem pendidikannya.

Oleh : Rejab F.I.

"Ramai Yang Sudah Lupa"

$
0
0
MUKADIMAH: MEMANG diakui orang Melayu kini menikmati kehidupan yang lebih baik dan banyak yang sudah bergelar golongan profesional seperti doktor, peguam, jurutera dan saintis.

Dalam bidang pendidikan, orang Melayu kini sudah tidak jauh ketinggalan berbanding kaum lain. Namun dalam sektor ekonomi, orang Melayu masih jauh ketinggalan, walaupun tidak dinafikan ada yang berjaya menjadi tokoh perniagaan terkemuka tetapi bilangan mereka boleh dibilang dengan jari.
Menurut Ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pemikir Agenda Watan Malaysia (Pemikir), TAN SRI ABDUL AZIZ ABDUL RAHMAN, dasar-dasar bagi membantu orang Melayu yang diperkenalkan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) dari 1969 hingga 1971 kurang berkesan kerana kelemahan pengurusan.

Ketika diwawancara oleh wartawan Mingguan Malaysia, di rumah beliau di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, bekas Pengarah Urusan Malaysia Airlines Systems (MAS) itu melahirkan kekecewaannya dengan apa yang berlaku. 

Jelas beliau, banyak dasar membantu orang Melayu kini sudah tidak ada, walaupun hak keistimewaan orang Melayu dijamin oleh Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Badan-badan berkanun yang ditubuhkan bagi tujuan itu juga sudah diswastakan.

“Kalau tidak buat dasar, ia cuma atas kertas sahaja. Kena buat dasar dan selepas dasar, baru ada program dan badan untuk laksanakan. Kalau dasar pun tidak ada, hendak buat apa?” katanya.

MINGGUAN: Sejak kebelakangan ini, orang bukan Melayu dan segelintir orang Melayu lantang mempersoalkan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutamanya melibatkan hak keistimewaan orang Melayu, kedudukan Raja Melayu dan agama Islam. Pandangan Tan Sri?

ABDUL AZIZ: Itu sudah tidak boleh diubah. Perlembagaan kita dibuat dengan persetujuan semua kaum. Ramai orang tidak faham. Siapa yang beri kita merdeka? Itu soalan yang pertama. Jawapannya adalah British dan Raja-Raja Melayu. Di sisi undang-undang Perlembagaan, hak mentadbir dan memerintah negeri jatuh kepada siapa yang ada kedaulatan. Negeri-negeri Melayu ini, kedaulatannya di tangan Raja Melayu. Kerajaan British datang ke sini, tidak ambil alih kedaulatan tetapi ada perjanjian dan jadi pelindung dan ditadbir melalui penasihat.

Kedaulatan masih dalam tangan raja. Kedaulatan ini cuma hilang selama dua tahun semasa Malayan Union. Nasib baik kita ada Datuk Onn Jaafar yang tubuhkan UMNO dan bantah penubuhan Malayan Union. Pada 1948, penubuhan Malayan Union dibatalkan dan ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu. Daripada situlah setiap negeri ada Perlembagaan masing-masing yang lebih kurang sama. Di peringkat Persekutuan pun ada Perlembagaan. Jadi, kedaulatan raja masuk balik. Kewarganegaraan pun ada undang-undangnya. Itulah asas yang akhir untuk kita dapat kemerdekaan. Bangsa lain tidak boleh hendak soal. Mereka perlu tengok balik sejarah. Tidak perlu tengok jauh tetapi tengok perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1948. Perjanjian itu ditandatangani antara British dengan Raja-Raja Melayu. British tidak tandatangan dengan raja China atau raja India.

Dalam pilihan raya pertama sebelum merdeka dibuat pada 1955 untuk adakan Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Maka UMNO, MCA dan MIC bertanding di bawah Parti Perikatan. Kebetulan tiga parti ini menang 51 daripada 52 kerusi. Satu lagi dimenangi oleh calon Pas. Daripada situlah British mendapat tahu betullah orang Tanah Melayu hendak merdeka. Kemudian lulus Perlembagaan untuk kita merdeka pada 1957. Siapa yang luluskan Perlembagaan ini? Yang pertama Parlimen di United Kingdom. Mereka buat undang-undang Akta Kemerdekaan Tanah Melayu. Yang kedua, Ratu Elizabeth II tandatangan perjanjian dengan semua Raja Melayu bersetuju untuk kemerdekaan. Kemudian dengan Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu dan ada enakmennya. Kemudian semua negeri di Tanah Melayu bersetuju merdeka dan juga ada enakmen. Ini semua dijadikan Perlembagaan pada 1957. Bukan tulis begitu sahaja.

Bagaimana pula dengan kontrak sosial. Sejauh mana generasi sekarang memahami perkara itu?

ABDUL AZIZ: Selalu orang sebut tentang kontrak sosial tetapi apakah yang mereka faham? Mereka tidak boleh jawab. Kontrak sosial itu adalah kompromi dan persetujuan semua itu. Apabila semua sudah bersetuju, peguam yang menulis Perlembagaan memasukkan jadi undang-undang dan jadi Perlembagaan. Semua kontrak sosial yang dipersetujui sudah dimasukkan ke dalam Perlembagaan. Tidak perlu tanya soalan lagi. Saya beri contoh, Perkara 153 dalam Perlembagaan bukan perkara baharu. Kalau kita balik kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 1948, perkara ini sudah ada iaitu klausa 19. Benda itu sudah ada kita bawa ke hadapan sahaja, bukan perkara baharu.

Cuma pada masa itu, ada bangsa lain cakap hak keistimewaan Melayu ini tidak boleh ada selamanya. Jadi mereka minta dengan British supaya perkara ini dihadkan selama 15 tahun. Suruhanjaya Reid pada mulanya tulis 15 tahun sahaja dalam Perlembagaan. Tetapi UMNO dan Raja-Raja Melayu bantah. Kerajaan British beri kepada empat orang politik dan empat orang British berunding. Akhir sekali buang tempoh 15 tahun ini dan kekal seperti seadanya. Pasal apa? Sebab benda ini sudah ada dalam perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Kalau hendak buat 15 tahun sahaja, lebih baik kita tidak merdeka dan lebih baik perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Macam saya, kalau tidak ada klausa 19 itu, saya tidak boleh pergi belajar ke luar negara sebab saya tidak ada duit. Saya dapat biasiswa di bawah itulah. Bangsa lain tidak boleh persoal hak keistimewaan orang Melayu sebab hak itu sudah lama ada. Perkara 152 yang memperuntukkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sudah ada turun temurun. Sultan pun cakap Melayu dengan rakyatnya di sini. Takkan kita hendak buat bahasa Inggeris. Islam pun sudah lama ada di sini. Pada tahun 1948, di dalam Perlembagaan setiap negeri ada dinyatakan Islam adalah agama rasmi.

Sepatutnya perkara-perkara yang ada dalam Perlembagaan ini tidak dipertikaikan lagi. Tetapi kenapa masih ada suara-suara yang mempersoalkan perkara ini?

ABDUL AZIZ: Ramai orang mempersoalkan perkara ini kerana mereka tidak faham. Ini kerana kelemahan sistem pendidikan kita. Ramai tidak tahu bahawa tanah ini adalah asalnya tanah sultan. Masalah ini berlaku kerana kelemahan pentadbiran kita. Satu lagi contoh, sekolah kita adalah sekolah kebangsaan. Kita tidak sepatutnya ada sekolah vernakular. Kalau hendak buat sekolah vernakular buat sendiri dan kita tidak perlu beri duit, tanah dan macam-macam lagi. Kita tengok Indonesia dan Thailand. Mereka satu bangsa. Semua bercakap dalam satu bahasa.

Selepas hampir 60 tahun merdeka, bagaimana Tan Sri melihat kejayaan dasar-dasar kerajaan untuk membantu orang Melayu dan bumiputera terutama dalam bidang ekonomi?

ABDUL AZIZ: Dahulu saya terlibat dan saya adalah pegawai undang-undang di Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 1969. Jadi, saya tahu apa dalam pemikiran pemimpin-pemimpin masa itu terutama pemimpin Melayu seperti Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Dr. Ismail Abdul Rahman. Mereka memikirkan cara mana kita hendak memperbaiki ekonomi orang Melayu. Sebab tercetusnya 13 Mei 1969, satu daripadanya adalah kerana ekonomi. Bangsa lain pun bangkit dan nampak seperti tidak mahu beri peluang kepada kita. Jadi kita terdesak. Semasa Mageran, banyak perkara kita buat untuk memperbaiki keadaan. Tetapi setelah selesai semua itu, negara kita stabil tetapi program-program yang diluluskan oleh kerajaan dan diimplementasikan tidak berkesan sangat.

Satu perkara saya nampak berkesan iaitu pendidikan. Masa itu, timbul Institut Teknologi Mara (ITM). Sekarang ini kita lihat dalam bidang pelajaran atau intelektual, kita tidak terkebelakang sangat. Ada ramai orang Melayu menjadi doktor, profesor, peguam dan jurutera sekarang. Kita masih di belakang tetapi bolehlah. Tetapi dalam bidang lain terutama ekonomi dan ekuiti, kita masih jauh ketinggalan. Ekuiti kita berapa peratus sahaja. Pemilikan harta komersial dalam bandar, seperti di Kuala Lumpur, kita ada satu peratus sahaja, sungguhpun kita sudah ada dasar. Saya terlibat secara langsung semasa Mageran kerana saya adalah pegawai undang-undang. Beberapa perkara Mageran buat seperti penubuhan Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), UDA Holdings Berhad (UDA) dan Lembaga Padi dan Beras Negara. Kerajaan bukan sahaja buat dasar tetapi tubuh badan-badan ini. Tetapi apa sudah jadi sekarang? UDA diswastakan, Lembaga Padi dan Beras Negara pun diswastakan dan Pernas tidak tahu di mana. Jadi, harapan pemimpin-pemimpin pada masa itu tidak tercapai. Saya ini tidak ada apa kerana saya pegawai sahaja tetapi saya nampak semua ini kerana saya ada dalam Mageran.

Apakah rasuah merupakan punca dasar dan program yang diwujudkan bagi membantu membangunkan ekonomi orang Melayu ini tidak begitu berkesan?

ABDUL AZIZ: Saya hendak beritahu, masalah rasuah bukan perkara baharu. Sekitar akhir tahun 1969 dan awal 1970, suatu hari Tun Abdul Razak panggil saya. Beliau kata hendak satu undang-undang bagi mencegah rasuah dalam kalangan orang politik atau members of administration di peringkat negeri dan Persekutuan dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan. Beliau hendak dimasukkan dalam undang-undang itu supaya mereka isytihar harta dan perkara-perkara berkaitan dengan mencegah rasuah. Saya pun dapatkan pandangan daripada kawan-kawan termasuk peguam negara. Bila siap undang-undang tetapi pada masa itu dipanggil undang-undang darurat. Saya ingat lagi, Ordinan No. 22 (Kuasa-Kuasa Perlu) Darurat 1970. Kemudian bawa masuk mesyuarat. Tidak perlu dibawa ke Parlimen pada masa itu. Dalam masa 10 minit lulus, kemudian Tun Abdul Razak minta saya bawa pergi ke istana dan Yang di-Pertuan Agong tandatangan.

Kemudian saya diminta bawa draf undang-undang itu ke Government Printer (Percetakan Nasional Malaysia Berhad). Selepas itu, saya diminta menghubungi Ketua Badan Pencegah Rasuah (BPR) Tan Sri Harun Hashim. Saya tidak tahu kenapa saya perlu buat ini semua. Keesokannya Harun menghubungi saya dan tanya saya adakah saya tahu apa berlaku semalam. Beliau beritahu saya bahawa dua orang iaitu Menteri Besar di Terengganu dan Menteri Besar di Perak telah ditangkap.

Jadi, itu yang saya tahu. Ordinan No. 22 berkuat kuasa dari masa itu hinggalah enam bulan lepas baru dibatal. Tetapi saya tidak nampak tindakan apa-apa mengikut undang-undang ini. Maknanya, ada undang-undang atas kertas sahaja. Banyak undang-undang yang kita buat tetapi atas kertas sahaja. Saya kaji ini, sebab apa orang Melayu jadi begini, adalah bukan kerana kita tidak cukup undang-undang dan bukan kita tidak cukup dasar tetapi kerana pengurusan kita lemah.

Dengan dasar kerajaan yang semakin terbuka sekarang, ke manakah hala tuju orang Melayu ketika Malaysia dalam perjalanan menjadi negara maju pada 2020? Apakah kita sudah bersedia?

ABDUL AZIZ: Kita lupa semua arah. Sebab UDA sudah lain macam, Pernas lain macam dan Lembaga Padi dan Beras Negara pun lain macam. Apa yang dibuat sekarang, nampak terbuka kepada semua. Maknanya sistem merit. Mana orang Melayu boleh bersaing kalau guna sistem merit. Sesetengah bahagian boleh. Umpamanya dalam bidang profesional bolehlah. Kalau hendak berniaga? Mana orang Melayu hendak beli bangunan RM100 juta.

Kita ada dua kekuatan iaitu majlis agama Islam dan Perlembagaan. Ini bergantung kepada siapa yang memerintah dan kita mesti pastikan orang Melayu memerintah supaya Perkara 153, Perkara 152 dan Perkara 89 iaitu berkenaan tanah rizab Melayu boleh dipraktikkan. Tanah rizab Melayu semakin berkurangan. Yang ada habis dan yang ada pun tidak buat apa untuk dibangunkan.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutan, sudah hampir 60 tahun ada. Saya hendak tengok dasar yang kerajaan sudah buat di bawah Perkara 153 sekarang ini. Kalau tidak buat dasar, ia cuma atas kertas sahaja. Kena buat dasar dan selepas dasar, baru ada program dan badan untuk laksanakan.

Apakah pilihan lain yang orang Melayu ada untuk membantu mereka dalam bidang ekonomi yang masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain terutama orang Cina?

ABDUL AZIZ: Saya kaji perkara ini begini. Ramai orang tidak tahu tetapi ada orang tahu pun dia tidak buat apa kerana boleh jadi tidak penting. Dalam negara kita ini, kita bernasib baik sebab kita sebenarnya ada dua aliran kerajaan. Satu kerajaan dan yang kedua sultan atau Raja Melayu. Sejak di zaman British lagi, dalam perjanjian kita dengan British, terang-terang ada nyata di situ, kerajaan mentadbir kerajaan dan sebagainya di bawah tangan Britih dengan memakai penasihat British dan nasihat penasihat British hendaklah diikuti. Tetapi kerajaan British memberikan kuasa kepada kita iaitu satu lagi kerajaan. Raja Melayu atau Sultan adalah ketua agama dan adat Melayu. Ini daripada dahulu lagi.

Semasa British lagi ada disebut bahawa Sultan adalah ketua agama dan adat Melayu. Apa maknanya? Itu kita kena faham. Itu besar maknanya. British tidak boleh campur tangan langsung dalam hal ehwal agama Islam dan adat. Apa makna agama dan apa makna adat? Itu kita kena faham. Agama Islam bukan hukum-hakam sahaja tetapi cara hidup termasuk ekonomi. Rasulullah SAW, lepas solat, Nabi pergi kerja. Baginda adalah ahli perniagaan. Isteri baginda, Siti Khadijah pun ahli perniagaan. Apa makna adat? Adat ialah undang-undang tidak tertulis. Di England pun ada undang-undang tidak tertulis. Perlembagaan England tidak tertulis. Faham sahajalah. Adat kita pun tidak tertulis. Adat Melayu pun undang-undang. Ada perkara orang Melayu boleh buat dan ada perkara orang Melayu tidak boleh buat.

Jadi, itu British serah kepada kita sejak sebelum merdeka lagi. Semasa British memerintah kita, British buat begitu. Pada masa sama, Perlembagaan di setiap negeri ada. Kuasa membuat undang-undang ada di setiap negeri, dipanggil Dewan Undangan Negeri (DUN). Ada Sultan, penasihat British dankemudian ada dewan yang dilantik, bukan dipilih.

Setiap negeri boleh dikatakan sudah ada undang-undang agama yang dipanggil majlis agama Islam. Kalau kita tengok undang-undang itu daripada dahulu lagi, satu daripada fungsi undang-undang itu ialah memperbaiki keadaan ekonomi orang Islam dan boleh ditubuh syarikat dan macam-macam.

Pada pemerhatian Tan Sri sendiri apakah majlis agama Islam negeri tidak melaksanakan program untuk membangunkan ekonomi orang Melayu dan Islam?

ABDUL AZIZ: Inilah yang saya kata kita tersalah pandang. Kita tidak buat. Kita buat hal agama sahaja. Ahli-ahli majlis agama mengandungi ulama. Jadi, mereka buat apa dengan wang kutipan zakat, kita tidak tahu. Adalah beri derma kepada kubur dan masjid. Hal ehwal ekonomi tidak ada langsung masa dahulu.

Kemudian kita merdeka, ada dalam Perlembagaan kita, memberi kuasa kepada raja sebagai ketua agama. Dan DUN boleh membuat undang-undang tentang agama Islam. Parlimen boleh buat undang-undang tentang agama Islam bagi Wilayah Persekutuan.

Dalam undang-undang negeri, ada sebut dengan terang bahawa majlis agama Islam hendaklah menasihati sultan. Dan majlis agama Islam di Wilayah Persekutuan menasihati Yang di-Pertuan Agong. Ada disebut di sebelah atas lagi dengan terang bahawa majlis agama Islam hendaklah memperbaiki keadaan ekonomi orang Islam dan boleh menubuh perbadanan dan syarikat.

Tetapi apa yang kita buat, lebih 50 tahun merdeka? Ini kuasa kita, kita boleh pungut zakat dan buat wakaf. Kita tidak perlu bergaduh dengan bangsa lain kerana orang lain tidak boleh sentuh. Inilah perkara yang saya bincang dengan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebelum ini. Tuanku memang sudah faham perkara ini daripada dahulu lagi. Apabila saya sebut begini, tuanku sangat gembira. Saya minta pandangan baginda sama ada saya patut pergi menghadap setiap sultan atau Majlis Raja-Raja.  - Utusan Malaysia

Lucunya Negara Ku...!

$
0
0
Bahasa Melayu semakin lemah
Ibarat seperti ‘melukut di tepi gantang’
KUALA LUMPUR - Situasi penggunaan bahasa Melayu yang semakin lemah dalam kalangan masyarakat ketika ini diibaratkan seperti ‘melukut di tepi gantang’ sehingga terdapat pihak beranggapan bahasa kebangsaan itu tidak setanding di peringkat antarabangsa.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, penggunaan bahasa kebangsaan tersebut dilihat semakin diketepikan kepentingannya apabila semakin banyak bahasa pinjaman menjadi pilihan dalam komunikasi hari ini.

“Bahasa Melayu itu bahasa kita, bahasa rakyat negara ini tetapi sa­yangnya, bahasa keramat itu masih tidak dihormati sepenuhnya oleh semua insan yang bergelar warganegara Malaysia.

“Saya bukan ingin menuding jari kepada mana-mana pihak, tapi orang Melayu sendiri dilihat tidak menyanjungi bahasa Melayu yang suatu ketika dahulunya pernah menjadi salah satu bahasa dunia. Keadaan itu amat menyedihkan,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila menjawab soalan daripada peserta mengenai situasi penggunaan bahasa Melayu di Malaysia ketika menjadi panel Bicara Bahasa: Ungkaian Keindahan Bahasa dari Buku Nadir dan Manuskrip Melayu, di sini hari ini.

Terdahulu, program anjuran Perpustakaan Negara Malaysia itu di­rasmikan oleh Ketua Pengarahnya, Nafisah Ahmad dan menampilkan seorang lagi panel iaitu Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Abdul Razak Ab. Karim.

Mengulas lanjut, Kok Seong memberitahu, ada sesetengah orang Melayu sendiri yang mempertikaikan bahasa tersebut tanpa memahami dan mengetahui sejarah sebenar asal usulnya.

“Adalah menjengkelkan apabila ada orang Melayu sendiri mempertikaikan bahasa percakapan hariannya. Apalah guna menjadi rakyat Malaysia jika bahasa Melayu tidak boleh dikuasai dengan baik sedang­kan pekerja asing dari Bangladesh juga boleh berbahasa Melayu selepas enam bulan berada di negara ini,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Razak turut melontarkan pandangan sama apabila menyatakan bahasa Melayu semakin hilang taringnya apabila orang Melayu tidak berusaha memperkasakannya.

“Punca bahasa Melayu menjadi semakin lemah adalah disebabkan oleh orang Melayu tidak mahu memahami atau mengetahui sejarah lahirnya bahasa Melayu.

“Jangan sampai orang luar lebih hormat akan bahasa Melayu dan bersungguh-sungguh memelihara bahasa tersebut berbanding orang sendiri,” jelasnya. - utusan malaysia


Perbankan Islam 
Tiada ‘Roh Islam’, Zalim?

$
0
0
KUALA LUMPUR - Perbankan Islam yang diamalkan oleh bank-bank dalam negara didakwa tidak mempunyai ‘roh Islam serta zalim’ dan menekan pelanggan-pelanggannya di sebalik nama institusi perbankan itu.

Perkara tersebut disuarakan oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nad­zim Johan yang kecewa dengan perkara sedemikian selain bimbang pelanggan tidak menyedari praktis bank yang mengambil kesempatan.

Katanya, antaranya amalan bank terbabit adalah mengenakan syarat yang terlalu berat sebelah dan pe­langgan seolah-olah terpaksa menye­rahkan segala hak mereka di tangan bank yang boleh bertindak apa sahaja tanpa kebenaran pelanggan.

“Nyata dan jelas Islam menentang apa jua jenis kezaliman dan ketidakadilan secara habis-habisan dan pelbagai aduan diterima berkaitan tindakan yang tidak munasabah dan tidak berjiwa Islam.

“Perkara ini tertulis dalam kan­dungan perjanjian semasa pembukaan akaun yang mana terdapat klausa yang memberi hak kepada bank untuk meminda sebarang perubahan tanpa persetujuan pelanggan terlebih dahulu. Namun demikian, saiz tulisan kandungan perjanjian yang terlampau kecil boleh dipertikaikan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Pengerusi Persatuan Pelanggan Perkhidmatan Kewangan Malaysia (Pebank), Sheikh Abd. Kareem Said Khadaied dan Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohamad.

Sementara itu, Sheikh Abd. Kareem berkata, institusi kewa­ngan Islam negara yang diselia Majlis Penasihat Syariah (MPS) di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) perlu meneliti kembali syarat dan klausa oleh bank-bank yang menyediakan perbankan Islam.

“Beberapa amalan daripada pihak bank dilihat tidak beretika serta telah tersasar daripada matlamat sebenar dalam mengangkat institusi perbankan berlandaskan hukum syarak dalam perniagaan mereka.

“Sebagai contoh, perjanjian sebelum sesuatu akad perniagaan atau persetujuan mestilah jelas dan tiada syarat tersembunyi. Perkara ini termaktub dalam syarat-syarat yang dikeluarkan oleh MPS,” katanya.

Sheikh Ahmad Dusuki pula menggesa BNM supaya mengatasi permasalahan itu yang telah wujud sekian lama dengan menstrukturkan kembali institusi kewangan Islam negara bagi mengelak penindasan terhadap pengguna.

Katanya, apa yang dipertikaikan adalah persetujuan perjanjian yang terpaksa diikuti pelanggan yang di­lihat hanya menyebelahi pihak bank sementara pelanggan pula terpaksa menerima tanpa persetujuan. - utusan

Lebuhraya Di Semenanjung Boleh Bebas Tol...!

$
0
0

Saksikan Ucapan Najib Jerat Leher Sendiri
Pengumuman kerajaan bahawa Lebuhraya Pan-Borneo akan bebas tol, bermakna lebuh raya boleh dibina tanpa mengutip tol, kata MP Pandan, Rafizi Ramli.

Katanya, beliau tidak fikir yang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak faham bahawa apabila beliau mengumumkan Lebuhraya Pan-Borneo akan bebas tol, rakyat akan membuka mata mereka, sedar dan faham bahawa lebuhraya boleh dibina di negara ini tanpa kutipan tol.

Oleh itu, katanya, kenyataan sebelum ini bahawa kerajaan perlu syarikat konsesi swasta untuk membina lebuh raya, tidak lagi boleh dipakai kerana kerajaan sendiri mengumumkannya.

Rafizi berkata demikian dalam satu forum di Kuala Lumpur mengenai bajet alternatif Pakatan Harapan malam tadi.

Katanya, jika boleh dibina Lebuhraya Pan-Borneo yang lebih panjang daripada Lebuhraya Utara-Selatan tanpa tol, maka lebuh raya bebas tol boleh diwujudkan jika kerajaan mahu berbuat demikian.

Malangnya, dakwa Rafizi, beliau merasakan bahawa Najib tidak merasakan yang undi di Semenanjung adalah cukup penting, berbanding dengan undi di Borneo.

Pendahulu Pakatan Harapan - Pakatan Rakyat - dalam kempen pilihan raya umum tahun 2013, berjanji untuk memansuhkan tol lebuh raya secara berperingkat jika ia dipilih menerajui kerajaan.

Dalam ucapan bajetnya Jumaat lepas, Najib mengumumkan bahawa Lebuhraya Pan-Borneo sepanjang 1,090 kilometer akan siap pada 2021 dengan kos sebanyak RM16.1 bilion dan ia akan bebas tol.

Menteri Kerja Raya, Fadillah Yusof dilaporkan berkata Lebuhraya Pan Borneo akan sama dengan jalan persekutuan di Semenanjung Malaysia, di mana jalan-jalan persekutuan adalah bebas tol.

Pengumuman itu dibuat selepas kenaikan kadar tol di 18 lebuhraya pada 12 Oktober lalu, terutama di Kuala Lumpur dan Selangor.

Seorang lagi ahli panel di forum itu, Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming mendakwa walaupun ada kenaikan kadar tol, kerajaan sebenarnya akan membayar lebih pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya di bawah bajet tahun depan.

Katanya, selepas melihat Bajet 2016, didapati pampasan yang akan dibayar kepada syarikat tol juga telah meningkat.

"Pada 2015, pampasan kepada syarikat konsesi tol berjumlah RM458 juta. Bagi tahun 2016, ia naik kepada lebih RM500 juta," katanya.

Pada bulan Oktober, katanya, kadar tol baru sahaja meningkat, dari 30 sen hingga RM1.

Beliau bertanya mengapa pada masa di mana kadar tol telah meningkat, pampasan kepada syarikat konsesi juga dinaikkan.

Sumber : penburukonline


Bersihkah Tandas Di Masjid-Masjid Kita...?

$
0
0
Tandas kena kotor sebab rumah syaitan?
UMAT manusia sama ada yang baik, nampak baik, berlakon baik atau sememangnya jahat rasanya sepakat mengakui bahawa iblis iaitu bapa kepada syaitan ialah musuh utama manusia.

Malah jika ditanya Perdana Menteri kepada negara haram Israel, Benjamin Netanyahu rasanya dia akan mengakui bahawa makhluk ghaib itu punca segala kejahatan di dunia ini.

Barangkali kerana memahami maksud tersirat ini menyebabkan orang kita kurang gemar menjaga kebersihan tandas yang merupakan rumah syaitan. Tandas kena kotor, sebab nak pastikan syaitan sedih dengan kekotoran!

Apa yang peliknya, tandas di rumah masing-masing pandai pula memastikan kebersihannya tetapi apabila tiba kepada tandas awam atau masjid, langsung tidak dijaga kebersihannya.

Dalam kes-kes tertentu, niat asal untuk menyempurnakan ‘hajat’ di tandas kebanyakan masjid terpaksa dibatalkan apabila dari jauh terbau semerbak aroma hancing, pintunya terpaksa disendal dengan batang kayu, langkahan masuk disapa dengan najis kering dan terapung. Malangnya masjid iaitu rumah Allah itu dicat dan dijaga dengan elok, tetapi tandasnya?

Diakui memang terdapat tandas masjid yang bertaraf lima bintang, tetapi kenapa perlu terjadi perbezaan antara masjid-masjid lain. Adakah ajaran Islam mengenai pentingnya menjaga kebersihan berbeza di tempat-tempat lain?

Penulis tertarik dengan cadangan seorang rakan dalam kumpulan WhatsApp yang mencadangkan alternatif kepada pihak pengurusan masjid dan jemaah yang malas bagi memastikan tahap kebersihan tandas sentiasa terjaga.

“Dalam setiap daerah lazimnya mempunyai lima buah masjid mukim. Setiap masjid boleh buat sedikit bayaran kepada satu syarikat pencuci, bermakna dalam sebulan sebanyak RM5,000 dapat dikumpulkan. Syarikat ini boleh membuat giliran untuk mencuci tandas-tandas masjid terlibat.

“Kosnya macam mana? Jika malas kenalah berkorban sedikit atau alternatif lain yang boleh difikirkan ialah seperti menyewa sedikit tanah masjid atau bahagian tertinggi bangunan untuk didirikan tapak pencawang telekomunikasi. Sebahagian daripada kadar sewa ini boleh digunakan untuk kerja-kerja mencuci ‘rumah syaitan itu’,” kata rakan penulis itu.

Sebenarnya di dalam al-Quran terdapat pujian khusus Allah terhadap jemaah Masjid Quba’ yang menjaga kebersihan tandasnya. Pada suatu hari Rasulullah SAW terpegun dengan pujian Allah itu, lantas segera dihantar wakil bertanyakan apakah rahsia amalan mereka sehingga mengundang pujian Allah dalam ayat ini?

“Jangan engkau sembahyang di masjid itu (Masjid Dhirar yang dibina orang munafik) selama-lamanya, sesungguhnya masjid yang didirikan di atas dasar takwa (Masjid Quba’) sejak hari pertamanya sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin),” (al-Tawbah [9:108]).

Menurut Musnad Ahmad dan Tafsir Ibn Kathir: Mereka akan membersihkan kemaluan dan tempat menunaikan hajat “dengan air” setiap kali selesai menunaikan hajat. Nampak seperti remeh tetapi mereka yang pembersih amat tinggi nilainya di sisi Allah. Lebih hebat lagi pujian ini kekal dalam al-Quran dan diulang baca oleh manusia sehingga kiamat!

Sementara itu, tidak menyucikan diri dengan sempurna selepas kencing juga boleh mengundang azab kubur. Seperti tidak logik tetapi itulah hakikatnya. Memang terdapat hadis Rasulullah SAW mengenainya: Pada suatu hari baginda bersama para sahabatnya melewati sebuah kubur, lalu baginda berkata:

“Mereka berdua (dalam kubur ini) sedang diazab, dan sebab mereka diazab bukanlah (kerana jenayah yang) besar pun. Rasulullah kemudiannya berkata: Sebenarnya ia memang dosa yang besar; seorang daripada mereka kencing secara terbuka. (Dalam riwayat lain disebut) “dia diazab kerana tidak benar-benar bersih daripada kencingnya. Manakala yang seorang lagi diazab kerana berjalan dengan umpatan (melaga-lagakan orang),” - Sahih Bukhari, Sunan al-Nasa’i.

Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa walau sebersih mana sesebuah tandas ia masih tetap rumah syaitan, cuma inisiatif itu bakal meningkatkan kemarahan makhluk itu apabila imej Islam bakal naik selari dengan kebersihan sebuah tandas. -

Mahukah UMNO Berubah...?

$
0
0
Pas sedia jadi penasihat kerajaan BN
Pas bersedia bertindak sebagai penasihat bagi membantu kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dengan sebaik-baiknya demi kepentingan rakyat.

Malah, pada masa sama, parti berkenaan dengan sinis turut menyindir DAP dengan Kabinet ba­yangannya sambil menyifatkan tindakan bekas parti sekutunya itu sebagai syok sendiri sekiranya mereka berjaya memerintah negara selepas Pilihan Raya Umum-14 (PRU-14).

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas bersedia menjadi penasihat kepada kerajaan berkaitan pelbagai isu yang menyentuh kepentingan rakyat termasuk 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), cukai barangan dan perkhidmatan (GST), perumahan, kejatuhan nilai mata wang dan sebagainya.

“Kita nak tolong selesaikan masalah, kita bukan nak rebut kuasa. Kalau UMNO ubah kuasa dengan konsep Islam, kita akan bantu dia. Yang penting kita nak ubah pemerintahan kepada lebih baik berasaskan tuntutan Islam,” katanya ketika berucap dalam program Dialog Rakyat Bersama Pas anjuran Badan Perhubungan Pas Terengganu di sini hari ini.

Selain Abdul Hadi, dialog itu turut dijayakan oleh Dekan Fakulti Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Kamaruzaman Yusof.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat serta barisan kepemimpinan Pas negeri itu.

Abdul Hadi berkata, ke­pemim­pinan Pas akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan pel­bagai isu terutama berkaitan GST dan kenaikan kos sara hidup rakyat.

“Kita ada cadangan agar kerajaan hapuskan GST kerana ia menyusahkan rakyat dan akan menyebabkan berlaku inflasi. Kita akan bincang bagaimana cara untuk selesaikan masalah ini.

“Contohnya, dalam Islam, orang kaya saja dikenakan cukai, orang miskin tak kena. Begitu juga orang Islam saja dikenakan bayar zakat manakala bukan Islam kena bayar cukai,” jelasnya.

Dalam sidang akhbar selepas itu, Abdul Hadi berkata, sekiranya segala teguran serta nasihat kepada kerajaan tidak memberi sebarang kesan, Pas tiada pilihan me­lainkan terpaksa mengambil alih pemerintahan.

“Perjuangan kita untuk me­ngubah keadaan dan bukan be­rebut jadi pemimpin. Tetapi kalau tidak berubah juga, menjadi tanggungjawab kita untuk tukar kerajaan.

“Kita akan jadi pembangkang yang boleh menasihat dan kita bukan jadi pelahap nak rebut jawatan,” ujarnya.

Beliau turut mengulangi pendirian Pas untuk tidak sekali-kali bergabung dengan BN khususnya dalam menjalin kerjasama politik.

Ditanya mengenai usaha pihak pembangkang lain yang akan mengemukakan usul menolak Bajet 2016 dalam sidang Parlimen, Abdul Hadi menegaskan, Pas hanya bertindak sebagai pihak berkecuali.

Sumber : utusan malaysia

Haram Sekadar Istilah, Tiada Siapa Ambil Peduli?

$
0
0

HARAM mengikut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa dua maksud iaitu ditegah atau tidak dibenarkan oleh agama Islam; tidak halal dan ditegah atau dilarang oleh undang-undang; tidak sah. Apabila timbul isu berkaitan rokok elektronik atau vape baru-baru ini, ramai yang tertanya-tanya apa pilihan bagi perokok jika vape diharamkan. Persoaan itu timbul apabila ramai perokok sudah beralih kepada vape yang kononnya lebih selamat malahan tinjauan yang dibuat menunjukkan sesuatu yang positif menggunakan vape berbanding rokok. Jika vape diharamkan, apa cara untuk menghilangkan ketagihan? Kini vape tidak diharamkan. Yang kekal haram adalah rokok. Haram atau tidak, sebenarnya tidak memberi sebarang kesan kepada orang ramai. Jika sudah ada fatwa yang mengharamkan rokok (bukan setakat di Malaysia sahaja) kenapa masih ramai umat Islam merokok? Rokok seludup yang dalam status undang-undang juga haram tetapi dijual secara ‘gelap’ atau terbuka.

Kerajaan mengharamkan cetak rompak lagu atau filem tetapi gejala ini berleluasa melalui pelbagai medium. Samalah juga jika kerajaan mengharamkan vape. Adakah jika diharamkan, pengguna vape di tempat terbuka boleh ditangkap? Apakah jaminan kerajaan bahawa vape tidak akan diseludup? Jika berlaku penyeludupan pelbagai jenis dadah yang memang haram, apakah tidak akan berlaku kemasukan vape secara haram? Jika berdasarkan senario ini, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa. Haram atau tidak, gejala itu tetap wujud.

Apa yang perlu dilakukan ha­nyalah penguatkuasaan dan usaha ke arah menyedarkan masyarakat mengenai rokok dan vape. Bahaya rokok sudah diketahui umum. Banyak sudah tulisan berkaitan yang memperkatakan kesan terhadap kesihatan. Kotak rokok yang dihiasi gambar mengerikan itu juga tidak mampu ‘menggoda’ perokok supaya insaf. Selak juga pernah menulis beberapa kali mengenai isu rokok dalam ruangan ini. Mengenai vape, belum ada kajian khusus yang menyatakan kesan terhadap kesihatan tetapi kebanyakan pakar kesihatan menyatakan ada kesan yang tidak baik. Kesan jangka panjang. Bab kesan tidak baik ini, apa pun yang kita `masukkan’ ke dalam tubuh badan akan memberi kesan. Ubat pun kadang-kadang memudaratkan! Vape yang asapnya lebih tebal dikatakan tidak menyebabkan mulut berbau busuk seperti pe­rokok sehingga di dalam solat, bau itu boleh mengganggu keselesaan jemaah. Seorang sahabat yang telah meninggalkan rokok memberitahu, beliau kini sedar betapa busuknya asap rokok sehingga ‘melekat’ ke baju dan rambut apabila berada dalam kalangan perokok lebih-lebih lagi di tempat tertutup termasuk di tandas awam. Syukurlah awak sudah insaf! Bayangkan selama ini, awak sudah menyusah dan meresahkan ramai orang ketika merokok di gerai, kedai makan, di dalam tandas, berdiri di sebelah makmum yang tidak merokok ketika solat dan puntung rokok yang berselerak di dalam tandas atau tempat awam.

Pihak berkuasa perlu berusaha untuk mendidik masyarakat supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menjejaskan kesihatan sama ada untuk diri sendiri atau orang sekeliling. Bantu rakyat mengurangkan tabiat merokok. Jangan pula dalam usaha ke arah itu, vape ditunjukkan sebagai jalan keluar kepada perokok. Kita tidak mahu pe­rokok terus merokok dan vape pula sebagai tambahan. Setakat ini banyak usaha dilakukan oleh kerajaan untuk menyedarkan masyarakat mengenai bahaya merokok. Zon larangan merokok ditambah setiap tahun. Sehingga kini Kementerian Kesihatan mewartakan 21 zon. Mulai Januari depan, kawasan lain yang akan turut diwartakan ialah semua taman awam dan Taman Negara. Di bawah Pelan Strategik Kebangsaan bagi kawalan tembakau, perancangan berperingkat untuk mewartakan tempat-tempat awam yang lain termasuk hotel, kedai makan tidak berhawa dingin, pasar awam dan lain-lain. Masalahnya sekarang, sejauh mana penguatkuasaannya? Adakah kita melakukan sesuatu secara tidak bersungguh-sungguh?

Dalam keadaan penguatkuasa­kan undang-undang dan fatwa rokok itu haram, kerajaan masih memberi kelonggaran untuk pe­rokok tegar. Ada kawasan khas disediakan. Baru-baru ini, ketika menyaksikan Grand Prix Motosikal Shell Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang, hanya kawasan berumput dikhaskan untuk pe­rokok merokok. Mereka tidak boleh sesuka hati merokok. Perbuatan mereka diperhatikan apabila Kementerian Kesihatan menurunkan pasukan penguat kuasa. Kaunter khas disediakan untuk memboleh­kan pe­rokok membayar kompaun. Mengikut peraturan, setiap kesalahan dikenakan denda RM250 tetapi ada diskaun, hanya RM150. Mungkin RM150 kecil tetapi wang itu sia-sia sahaja kerana nilai itu boleh membeli lebih daripada 10 kotak rokok. Melihat kerenah mereka yang dikompaun, ada yang meru­ngut dan marah. Resit dikoyak.

Seorang pegawai kesihatan mem­beritahu, maki hamun sudah menjadi ‘makanan’ pegawai-pe­gawai penguat kuasa. Beliau me­ngakui memang sukar untuk menguatkuasakan undang-undang. Sudah tentulah kekangannya pegawai penguat kuasa. Dalam konteks ini, langkah penurunan kuasa kepada pemilik premis untuk me­nguatkuasakan peraturan itu amat dialu-alukan. Kementerian juga akan mempergiatkan usaha ke arah memperkasakan masyarakat untuk menolak budaya merokok serta berani menegur perokok di zon lara­ngan. Saya percaya, setiap perokok sedar bahawa merokok difatwakan haram, membahayakan kesihatan sama ada diri sendiri atau orang sekeliling tetapi jika sudah ketagih apa yang mampu dilakukan?

Biar pun harga rokok terus melambung, ramai yang tidak peduli. Sekali lagi fatwa dan harga tidak menggerunkan perokok. Bagi perokok yang beragama Islam, adakah mereka bersedia menerima fatwa merokok itu haram? Khabarnya, ada tiga hukum merokok iaitu harus (jika terasa pening atau sakit sekiranya tidak merokok), makruh (jika tidak memberi sebarang kesan) dan haram (jika merosakkan). Mungkin lebih ramai yang memilih harus dan makruh walaupun ‘cerita’ bahaya mengenai rokok yang mempunyai lebih 6,000 jenis bahan kimia dan toksik itu sudah ada dalam pengetahuan mereka. Sebagai ulangan, dalam rokok ada gas beracun pada ekzos kereta, racun rumpai, peluntur cat, pembersih lantai, racun semut putih, gas beracun, minyak pemetik api, minyak roket, racun gegat, sebatian organik yang mudah terbakar, bahan bateri kereta, racun serangga dan macam-macam lagi. Begitu juga dengan pelbagai penyakit.

Vape juga ada bahan yang menyebabkan kanser iaitu formaldehyde, bahan awet yang digunakan untuk mayat. Bagi orang Islam yang sekadar mahu menerima hukuman ‘makruh’, merokok sama seperti memakan petai atau jering, ulam yang baik untuk kesihatan. Cuma rokok bukan ‘ulam’. Seperti jering dan petai, mulut perokok juga me­nimbulkan bau busuk.

Kajian menunjukkan, 70 peratus perokok sentiasa mencuba untuk berhenti merokok tetapi kebanyakannya gagal. Selepas lapan kali ke klinik merokok, barulah mereka boleh berhenti. Begitulah sukarnya untuk membuang tabiat selepas ketagih. Kini sudah ada usaha pihak berkenaan mempengaruhi anak-anak dengan shisha berbentuk pen yang berharga RM10. Jika gejala ini tidak dibendung, golongan ini ak­hirnya akan terjebak dalam gejala merokok atau vape. Bertindaklah sekarang supaya anak-anak muda kita tidak terjebak dalam sesuatu yang tidak memberi faedah sama ada ia haram atau tidak.

Negara Bakal Musnah!

$
0
0
RASA sedih dan takut yang amat sangat. Ini kerana seolah-olah ramai pihak tidak menghayati maksud tersirat daripada firman Allah dalam Surah al-Isra’, ayat 32 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu dekati zina..”. Kalam suci ini antara lain bermaksud setiap pintu yang membawa kepada maksiat ini perlu ditutup seketat-ketatnya, jangan cuba dibuka walaupun sekali.

Bukan Islam sahaja melarang penzinaan, agama lain pun diyakini berpendirian sama. Jadi, apa masalahnya kepada pihak berkuasa untuk bertindak secara proaktif? Cukuplah semasa menghadiri majlis-majlis agama, berdegar-degar menyeru semua pihak agar mengikuti ajaran al-Quran dan Sunah. Tetapi pada masa lain pula menggalakkan budaya hedonisme iaitu yang mementingkan keseronokan hidup semata-mata. Rasanya pelbagai acara menyanggah firman Allah itu sedang bersusun-susun menunggu waktunya untuk dilaksanakan dalam kalendar pelbagai pihak pada masa ini, terutamanya apabila menjelang hujung tahun. Contohnya ialah sambutan tahun baharu, pasti hasil tuaian akan diperoleh dalam masa sembilan bulan akan datang!.

Penulis bukan sengaja hendak berleter. Tetapi percayalah krisis moral penduduk negara ini terutamanya yang bakal mengisi kepemimpinan negara pada masa hadapan berada dalam ke­adaan yang amat kronik. Ditegaskan bahawa ia bukan kecil terpencil, sekali gus dipandang mudah oleh sesiapa sahaja yang berbumbungkan langit Allah dan bermastautin pada bumi Allah.

Pendedahan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam baru-baru ini amat mengejutkan bahawa purata seba­nyak 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan daripa­da jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes membabitkan remaja yang mengandung anak luar nikah. Secara purata terdapat 1,500 kes remaja mengandung setiap bulan iaitu 50 kes sehari di se­luruh negara. Kemudiannya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyambut pendedahan itu dengan menyatakan kesediaan kerajaan untuk membantu dan melindungi kebajik­an remaja mengandung anak luar nikah yang diabaikan oleh keluarga.

Persoalannya, selesaikah punca sebenarnya yang mendasari malapetaka remaja berzina dan melahirkan anak luar nikah ini? Semua pihak terutamanya kerajaan tidak dapat tidak perlu menutup segala pintu yang menjadi punca utamanya. Kembali kepada mukadimah di atas, kenapa penulis membangkitkan perasaan takut? Tidak cukupkah lagi dengan pelbagai musibah, bala bencana yang melanda negara ini? Belum cukup lagi amaran Allah ini?

Mengenai petaka ini Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Umatku akan sentiasa berada dalam kebaikan selagi mana tidak tersebar pada mereka anak zina. Apabila anak zina tersebar pada mereka, maka hampir sahaja Allah akan menurunkan bala kepada mereka.” - Musnad Ahmad.

Penyembuhan kepada masalah yang amat teruk ini perlu dicari - ubatnya adalah pegangan agama kerana manusia yang bercerai jiwanya daripada agama tiada bezanya jika diban­dingkan dengan binatang. Jangan cuba-cuba salahkan pihak tertentu, semuanya perlu bermuhasabah kerana setiap jiwa itu mempunyai peranan masing-masing.

Kepada penzina di luar sana, manfaatkan sekejap secebis otak yang dianugerahkan Allah untuk berfikir, tidak perlu lama, rasanya dua atau tiga minit sudah memadai untuk cuba memahami analogi ini. Sanggupkah anda membenarkan ibu, anak perempuan, adik beradik perempuan, ibu saudara dan sepupu serta cucu perempuan disetubuhi secara haram? Pasti jawapan daripada seorang manusia yang waras ialah tidak akan sesekali membenarkannya berlaku, malah mungkin sanggup mati untuk menghalangnya. Maka begitulah juga keadaannya dengan perempuan yang anda hajati untuk melakukan zina atau merogolnya kerana mereka semestinya mempunyai segala susur galur kaitan kekeluargaan seperti yang dinyatakan itu. Sebagaimana perasaan anda, begitulah juga perasaan mereka!

Dalam Negara Ada Negara !

$
0
0
UEC dan Patriotisme 
Ada dua berita semalam yang membuatkan Awang teruja. Pertama, Kementerian Pengajian Tinggi kekal dengan keputusannya tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam. Perkara tersebut dinyatakan dengan jelas oleh Timbalan Menterinya, Mary Yap Kain Ching. Sememangnya sijil tersebut tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti terkandung dalam Akta Kebangsaan 1996. Awang berharap atas nama mendahulukan kepentingan negara, semua pihak akur.

Janganlah meletakkan kepentingan kaum yang sempit sehingga lupa asas kenegaraan. Terimalah realiti, ini Malaysia. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

Kedua, cadangan Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN) , Raja Arif Raja Ali agar kerajaan mewujudkan Dasar Patriotisme Negara yang diharap membawa kepada terbentuknya Aka Patriotisme Negara. Sudah sampai masanya dasar tersebut dilaksanakan, lebih-lebih lagi dengan cabaran masa kini dan demi menyelamatkan perpaduan serta jati diri generasi masa depan.

Harus diakui, nilai patriotisme dalam kalangan sebahagian rakyat makin menipis disebabkan antaranya pendekatan ekstrem parti politik tertentu. Apa guna menjadi warga negara jika tidak patriotik. Melainkan jika memang berniat serong, laksana kaduk naik junjung. -utusan

UEC tidak diiktiraf
PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi kekal dengan keputusan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Timbalan Menterinya, Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, sebab utama UEC tidak diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPTA adalah kerana sijil itu tidak selari dengan kurikulum kebangsaan seperti terkandung dalam Akta Pendidikan 1996.

“Selain itu, bahasa Melayu dalam UEC juga tidak setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan liputan sejarah negara dalam kurikulum sijil berkenaan juga tidak mencukupi.

“Syarat am kelayakan mema­suki IPTA adalah perlu lulus SPM dengan kepujian Bahasa Melayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mary Yap, kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan UEC diterima pakai sebagai kelayakan masuk ke IPTA sekiranya pindaan terhadap kandungan kurikulumnya dibuat selari dengan dasar pendidikan kebangsaan.

“Kementerian berterima kasih dan mengambil maklum terhadap pandangan beberapa pihak yang menuntut agar UEC diterima pakai sebagai kelayakan yang sah untuk kemasukan ke IPTA,” katanya. -utusan


DAP Mahu Bagan Nakhoda Omar Ditukar Nama Cina
SHAH ALAM – DAP Selangor mahu kerajaan negeri menukar nama perkampungan nelayan Cina, Bagan Nakhoda Omar (BNO) kepada nama Cina, memandangkan ia didiami 100 peratus keluarga Cina.
Timbalan Setiausahanya, Ng Suee Lim turut meminta status Tanah Rizab Melayu di BNO ditukar dan warta dibatalkan.

“BNO diduduki 100 peratus nelayan Cina berpuluh tahun, tetapi statusnya masih lagi Tanah Rizab Melayu. Usaha untuk menukar sudah dilakukan bertahun-tahun, tetapi sampai sekarang tiada jawapan.

“Kalau esok kita berjaya tukar dan warta dibatalkan, ini kerana BNO diduduki 100 peratus nelayan Cina, jadi nama dia kena tukar.

“Kita kena tulis Bagan Nakhoda Chong, Omar tak payah, sebab kita akan ingat Noh Omar. Macam Nakhoda Noh Omar macam tu. Jadi, BNO ini kita tukar Bagan Nakhoda Chong lebih baiklah,” kata Adun Sekinchan itu ketika berbahas di Dewan Undangan Negeri Selangor, hari ini.

Tindakannya ditegur Datuk Sulaiman Abdul Razak (Permatang – BN) yang menyifatkan kenyataan Suee Lim itu sangat rasis.

“Sekinchan (Suee Lim) kuat sangat rasisnya. Kalau boleh, jangan kuat sangat sampai nama pun nak jadi isu.

“Nama tu dah lama dah Sekinchan. Tidak profesionallah. Bukan BNO itu Bagan Noh Omar, Nakhoda Omar,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali ketika mengulas perkara itu berkata, kerajaan negeri akan membuat semakan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) berhubung status tanah tersebut.

“Kita boleh batalkan dan ganti tapak lain dengan nilai sama. Pastinya kita nak tengok susun atur bangunan, kampung sedia ada, supaya masalah keselamatan, kesejahteraan rakyat dapat diambil kira,” katanya. – Selangor Post

Muslim Myanmar Akan Terus Dizalimi....!

$
0
0
Aung San Suu Kyi lakar sejarah
YANGON - Pemimpin pembangkang Myanmar, Aung San Suu Kyi, semakin hampir melakar sejarah negara ini, apabila Parti Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinannya dilaporkan mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum negara ini, semalam selepas menyapu bersih semua 12 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di ibu negara.


Pengerusi Kesatuan Suruhanjaya Pilihan Raya, Tin Ayu berkata, berdasarkan keputusan setakat ini, parti NLD memenangi kesemua kerusi di Yangon, bandar terbesar di negara ini dan tiga lagi kerusi di kawasan lain.

Sehingga pukul 9 malam tadi. NLD memenangi 35 daripada 36 kerusi Parlimen.


Dalam pada itu, Suu Kyi berkata, walaupun keputusan rasmi pilihan raya masih belum dikeluarkan, kiraan awal menunjukkan partinya memenangi lebih 90 peratus undian di wilayah tengah Myanmar yang padat dengan penduduk.

Parti pemerintah Myanmar, Kesatuan Pembangunan dan Solidariti (USDP) dilaporkan akur dengan pilihan rakyat.

Suu Kyi dalam kenyataannya di ibu pejabat NLD di Yangon, turut memberi bayangan bahawa parti pembangkang itu mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya tersebut.

“Masih awal untuk mengucapkan tahniah kepada calon kita atas kemenangan tersebut.

“Tetapi saya rasa semua pihak tahu tentang keputusan yang bakal diumumkan,” kata pemimpin berusia 70 tahun itu.

Jurucakap NLD, Win Htein berkata, parti pimpinan Suu Kyi turut mencatat kemenangan lebih 65 peratus undi di wilayah luar bandar termasuk di negeri Mon dan Kayin.

“Berdasarkan laporan terkini, NLD meraih kemenangan 70 peratus kerusi Parlimen, jumlah yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun keputusan awal di lima negeri lain masih belum diketahui dan tidak dapat dipastikan, sama ada NLD boleh mencapai kemenangan dua pertiga daripada 323 kerusi Parlimen yang dipertandingkan bagi membentuk kerajaan demokrasi pertama sejak awal 1960-an.

Walaupun Suu Kyi mencatat sejarah baharu, hala tuju Myanmar ke arah negara berdemokrasi dilihat masih berliku kerana timbul persoalan bagaimana Suu Kyi dan parti lain berunding untuk berkongsi kuasa dengan pihak tentera.

Malah, jika Suu Kyi mendapat majoriti dalam Parlimen, beliau masih dilarang untuk bertanding sebagai Presiden mengikut Perlembagaan yang digubal oleh kerajaan junta bagi mengekalkan kuasa tentera dalam pemerintahan.

“Saya masih boleh berkuasa di bawah kepemimpinan Presiden baharu,” kata Suu Kyi sambil menyifatkan Perlembagaan itu sebagai mengarut.

Sementara itu, pemangku Presiden USDP, Htay Oo mengalami kekalahan di kubu kuat parti tersebut di Ayeyawaddy selepas NLD menyapu bersih kemenangan di kawasan terbabit.

“Parti USDP tewas semua kawasan di Ayeyawaddy,” katanya. – utusan

Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone

$
0
0
Sedap sungguh gelaran yang tersebut pada tajuk artikel di atas. Sebab itu saya dengan sengaja menjadikannya satu tajuk dalam blog ini sebagai kenang kenangan untuk anak cucu nanti. Juga untuk mendapat sedikit maklumat terhadap dari manakah datangnya gelaran sehebat itu.

Siapakah gerangan manusia yang mendapat gelaran sebegitu rupa, yang sedap disebut, walaupun ada sedikit kesukaran melafazkannya dengan lancar ?

Bagi para pembaca yang peka dengan suasana politik UMNO sekarang juga melibatkan suasana politik pemerintahan keranjaan Malaysia, sudah tentu tahu siapakah orang besar negara kita yang membawa gelaran tersebut.

Antara orang yang amat kerap mengguna dan menyebut gelaran itu setiap kali menulis artikel berkenaan orang yang membawa gelaran itu ialah Dato' A Kadir Jasin di dalam blognya The Scribe A Kadir Jasin.

Itu merupakan antara blog yang paling kerap saya singgah dan baca kerana banyaknya maklumat yang amat berguna untuk hal ehwal semasa di Malaysia. Sejak mengikuti segala penulisannya dari dulu, rumusannya adalah ternyata Dato A Kadir Jasin, walaupun umum tahu kecenderungannya lebih kepada UMNO, tetap menulis dengan penuh etika kewartawanan serta punya integriti dan tidak beremosi.

Kesultanan Gowa
Gelaran sebegitu datangnya daripada Bugis dan punya kaitan dengan para pembesar Bugis ketika zaman kebesaran mereka dahulu. Atau lebih tepat lagi Kerajaan Gowa yang masyarakarnya masih wujud di Indonesia sekarang ini.

Kerajaan Kesultanan Gowa ini merupakan sebuah kerajaan yang wujud pada abad ke-16 di Daerah Sulawesi Selatan. Para penduduknya terdiri daripada orang Melayu dari Suku Makassar.

Perkataan Makassar atau di sebut sebagai 'Mangkasara' dengan lidah Makassar membawa maksud "mereka yang bersifat terbuka".

Suku Makassar terkenal dengan jiwa penakluk. Mereka amat handal di laut dan gemar berperang. Namun begitu, mereka dikenali juga dengan sikap demokratis atau terbuka dalam pemerintahan.

Ada yang mengatakan Suku Bugis adalah sama dengan suku Makassar, tapi ianya tidak dapat dipastikan kerana bahasa Bugis adalah berbeza daripada bahasa Makassar. Dari perbezaan bahasa itu menunjukkan bahawa mereka adalah dua etnik atau suku yang berbeza.

Apa yang pasti, satu masa dahulu, penjajah Belanda amat benci dengan Suku Makassar ini. Di mana saja mereka bertembung dengan armada Belanda, sudah tentu akan diperanginya tanpa sedikitpun rasa gentar. Ia banyak menyusahkan Penjajah Belanda pada ketika itu.

Antara raja Gowa yang terkenal dan mendapat pengktirafan sebagai pahlawan besar di Indonesia adalah Sultan Hasanuddin. Beliau diberikan nama ketika lahir sebagai "Mallombasi Muhammad Bakir Daeng Mattawang Karaeng Bonto Mangape". Sesudah diangkat menjadi Sultan diberikan pula nama "Sultan Hasanuddin Tumenanga Ri Balla Pangkana".

Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone
Apa hubungannya Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, dengan kerajaan kesultanan Makassar ?.

Menurut tuan punya badan sendiri, ayahnya pada satu ketika (1973) telah membawa beliau melawat ke Gowa. Dalam lawatan itu beliau di bawa melawat ke pusara Sultan Hasanuddin dan di sana ditunjukkan pada salah sebuah pusara lain.

Di bawah pusara itulah bersemadinya seseorang yang bernama Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, iaitu merupakan putra kepada Raja Gowa ke XVI. Itulah salasilah keturunan orang besar yang sedang kita sebut sekarang ini.

Bagaimana pula orang besar mendapat nama itu sekarang ?

Orang besar kita itu mendapat nama tersebut ketika berziarah balik ke Gowa. Ketika balik itulah dia telah diberikan nama sebagai Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, sempena mengambil nama neneknya yang disebut tadi.

Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone
Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone itu sekarang sedang mendapat ujian yang amat besar. Baru-baru ini saja kerajaan yang sedang diketuai oleh Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, mendapat teguran daripada para Sultan di negara kita.

Seingat saya, tidak pernah lagi berlaku di mana berkumpulnya raja-raja Melayu, bermesyuarat dan kemudiannya mengeluarkan satu kenyataan dalam bentuk gesaan memerintahkan agar kerajaan pimpinan sekarang segera selesaikan isu WanEmDiBi.

Rakyat Malaysia negara kita perlu berterima kasih atas keperihatinan para Sultan tersebut yang mungkin dapat merasakan keresahan rakyat dengan segala peristiwa yang mencurigakan berlaku di depan mata.

Saya sendiri betada dalam keadaan konfius dengan apa yang sedang berlaku. Dari segi persepsinya, samada betul atau tidak betul, Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone seeloknya turun saja dari takhta kerana tidak ada lagi kepercayaan rakyat terhadapnya, malah diseluruh dunia, nampaknya (berdasarkan media-media utama dunia).

Tapi itu semua tidak berlaku dan kelihatan Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone adalah seorang yang amat kebal. Ilmu apa yang telah diperturunkan kepadanya agaknya ya?.

Memang hakikatnya rakyat macam tak boleh buat apa-apa. Tun Mahathir yang mengetuai sekelompok para elit yang giat menggesa penurunan Datuk Seri Mappadulung Daeng Matti­mung Karaeng Sanrobone, juga menemui jalan buntu.

Persoalan saya cuma satu sahaja, apakah para menteri kabinet kesemuanya daripada spesis tongkol yang tidak nampak kegusaran dan kepanasan keadaan kucar kacir di negara kita?

Apa yang perlu ditunggu sebenarnya ?


Keajaiban Kentut....

$
0
0
Kentut Boleh Rawat Barah?
LONDON - Antara bau yang tidak digemari manusia adalah kentut, namun jangan terkejut kerana kajian sebuah universiti mendapati, bau kentut sebenarnya mempunyai rahsia kesihatan tersendiri yang mampu mencegah penyakit barah, angin ahmar, serangan jantung, dan nyanyuk.

Menurut saintis dari Universiti Exeter di United Kingdom, hidrogen sulfida, satu daripada gas berbau yang dihasilkan oleh bakteria semasa memproses makanan di dalam perut dapat membantu melindungi sel-sel dan melawan penyakit jika berada dalam jumlah yang sedikit.

Namun menurut laporan portal mirror.co.uk, hidrogen sulfida dalam jumlah yang berlebihan amat berbahaya kerana mengandungi toksik.

Pensyarah dari Sekolah Perubatan Universiti Exeter, Matt Whiteman berkata, semasa sel-sel menjadi tertekan oleh penyakit, sel itu cuba untuk menarik enzim-enzim bagi menghasilkan gas hidrogen sulfida sendiri.

“Bahan kimia itu melindungi mitokondria dan membenarkan sel untuk terus hidup. Sekiranya perkara ini tidak berlaku, sel itu akan mati dan kehilangan upaya untuk mengawal kehidupan dan keradangan.

“Kami telah mengeksploitasi proses semula jadi ini dengan membuat suatu sebatian yang dikenali sebagai AP39, yang perlahan-lahan menyampaikan sejumlah kecil gas ini terutamanya kepada mitokondria.

“Hasil ujian kami menunjukkan sekiranya sel-sel yang ditekan itu dirawat dengan AP39, mitokondria boleh dilindungi dan sel-sel kekal hidup,’’ kata Whiteman.

Sebelum bahan itu boleh diuji ke atas manusia, saintis telah menjalankan uji kaji terhadap model pesakit bagi melihat keberkesanan AP39.

Hasil awal yang diterbitkan oleh jurnal Medicinal Chemistry Communications menunjukkan, bahan kimia itu boleh membantu sehingga 80 peratus mitokondria untuk terus hidup dalam keadaan yang boleh membawa kerosakan seperti penyakit jantung. - utusan

Hapuskan Jakim...

$
0
0
Mengapa tak terus cakap, Hapuskan artikel dalam perlembagaan yang ada peruntukan Islam?
Bukan main bergedik lagi DAP apabila suara hati mereka untuk melihat semua institusi Islam di negara ini dihapuskan, kini diluahkan oleh orang Melayu-Islam yang hidup mereka selama ini bergantung kepada status Islam dan Melayu.

Cadangan Tawfik Ismail yang turut mendedahkan tentang cadangan penubuhan 'Council of Elders' untuk menasihati Perdana Menteri, agar JAKIM dihapuskan, turut mendapat perhatian daripada pihak yang masih berada di dalam UMNO tetapi menentang Najib Abdul Razak.

G25 yang konon-kononnya dianggotai oleh kumpulan moderat profesional, mempunyai latar belakang dan modus yang sama dengan Sister In Islam walaupun dari beberapa segi, sedikit berbeza.

JAKIM, walaupun dihuni dan menjadi sarang kepada puak-puak penentang kerajaan yang menggunakan entiti kerajaan untuk kemudahan mendapat pelbagai maklumat dan pengkalan, namun fungsi JAKIM itu sendiri amat penting bagi agama Islam di negara ini, terutama kepelbagaian dan ancaman demi ancaman yang sedang dihadapi oleh umat Islam di negara ini.

Generasi seperti Tawfik Ismail mempunyai gaya hidup ala kebaratan yang amat ketara sebelum pengaruh kehidupan Islam kembali berakar umbi di dalam negara ini walaupun pada masa yang sama, umat Islam di negara ini, khususnya golongan muda tidak dapat membezakan Islam, Arab mahupun Pakistan!

Penubuhan Pusat Islam dan kemudian bertukar nama kepada JAKIM dan berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, merupakan titik tolak kepada banyak perubahan termasuklah status halal, pengharaman jualan arak secara terbuka, larangan ke atas umat Islam berjudi atau membeli nombor ekor mahupun perkara-perkara yang melibatkan hukum syariat.

Penubuhan JAKIM selaras dengan Artikel 3 Fasal 5 yang menyatakan,

"Walau apa-apa jua dalam Perlembagaan ini, Yang Di-Pertuan Agong hendaklah menjadi Ketua Agama Islam dalam Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan bagi maksud ini, Parlimen boleh dengan undang-undang membuat peruntukan-peruntukan bagi mengadakan peraturan mengenai hal-ehwal agama Islam dan bagi menubuhkan suatu Majlis untuk menasihatkan Yang Di-Pertuan Agong mengenai perkara-perkara berhubung dengan agama Islam."

Sebelum Tawfik Ismail menyuarakan cadangannya agar JAKIM dimansuhkan, DAP dan Lawyers for Liberty sudah terlebih awal menyerang JAKIM, terutama yang membabitkan khutbah Jumaat. Begitu juga dalam isu murtad, DAP dan beberapa NGO pro-DAP turut menyerang JAKIM dan menuduh JAKIM sedang melakukan Islamilasisi dan pemaksaan ke atas bukan Islam untuk memeluk Islam.

Malah JAKIM dituduh sebagai tempat penggalakan keganasan dan pembiakan teroris!

Agama Islam berdasarkan kepada Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan telah diperuntukkan sebagai Agama Rasmi Persekutuan. Sebagai Agama Rasmi Persekutuan, sudah tentu, ada badan khas yang menjaga dan mengawalselia halehwal umat Islam di dalam Persekutuan.

Keterbukaan sekarang ini, telah menyebabkan golongan yang terlebih sekular cuba melakukan sesuatu yang sebenarnya membawa negara kepada kemusnahan yang lebih besar.

Hanya semata-mata kerana permusuhan mereka ke atas Islam. Hanya semata-mata kerana mereka beranggapan agama adalah faktor yang memundurkan masyarakat!!!

Sumber : theflyingkick

Pangsapuri Bertindan

$
0
0
SINGAPURA - Satu struktur unik yang terdiri daripada blok bangunan pangsapuri dan kedai di Singapura, dinobatkan sebagai Binaan Sepanjang Tahun dalam acara tahunan Festival Seni Bina Dunia Kelapan, baru-baru ini.

The Interlace atau lebih terkenal dengan gelaran ‘Vertical Village’ yang direka bentuk oleh firma Metropolitan Architecture dan Buro Ole Scheeran, telah menerima banyak pujian kerana pendekatannya yang radikal dan alternatif ke arah kehidupan dalam persekitaran tropika.

Portal berita independent.co.uk melaporkan, acara tahunan itu diadakan di sebuah pusat peranginan berprestij, Marina Bay Sand, di Singapura dari 4 hingga 6 November lalu.

Pengarah festival, Paul Finch berkata, projek perumahan itu merupakan sebuah binaan yang menakjubkan dengan rekaan yang berani selain memaparkan idea seni bina kontemporari.

“Projek ini mempersembahkan satu gaya pemikiran alternatif dalam pembangunan,” ujarnya.

Binaan istimewa itu mengan­dungi 31 blok tindanan kediaman dan enam blok bangunan kedai.

Selain itu, bangunan tersebut turut dilengkapi kolam renang, gelanggang tenis, dan taman bunga.

Festival Seni Bina Dunia 2016 akan diadakan di Berlin, Jerman selepas diadakan selama empat tahun berturut-turut di negara ini.- utusan

Tun Mahathir Dan Dasar Luar Negara

$
0
0
Kenapa dasar luar (foreign policy) Malaysia di bawah Tun Mahathir penting demi survival negara - Oleh Wan Fayhsal
Tadi pagi saya dan rakan sempat hadir ke seminar "Malaysian Foreign Policy: Present and Future Trends" anjuran ICON Centre for Global Affairs di Carcossa Seri Negara.

Banyak pembentangan menarik berhubung dasar luar Malaysia - suatu tajuk yang amat jarang diwacanakan.

Saya sempat hadir ke sesi pertama yang dipengerusikan oleh tuan rumah Dr. Razak Baginda dengan menampilkan pembentang seperti Dr. Karminder (INTAN), Dr. Mustafa Izzudin (ISEAS) dan Cik Elina Noor (ISIS).

Sesi pertama membicarakan sejarah dan keadaan semasa dasar luar Malaysia yang selalunya dibicarakan melalui pembahagian fasa kepimpinan tertinggi negara (Perdana Menteri) daripad zaman Tunku Abdul Rahman sampailah ke zaman DS Najib.

Kita tahu zaman Tunku dan Tun Razak lebih kepada neutral dan berkecuali (walaupun Tunku pro-British lebih) dan yang menongkah arus dasar luar adalah Tun Mahathir dengan "Buy British Last", "Dasar Pandang Timur", dasar luar berpaksikan kepentingan "Islam dan Dunia Muslim" dan juga dasar kerjasama erat "Selatan-Selatan" (South-South Cooperation).

Selepas daripada zaman Tun Mahathir, dasar luar negara kata Dr. Karminder agak "ambivalent" yakni satu pemisahan daripada dasar luar Tun Mahathir yang mana hala tuju dan posisinya agak kabur. Ini kemungkinan kerana gaya dan sifat kepimpinan Tun Abdulah Badawi.

Di bawah DS Najib, para pembentang mengatakan ianya agak seimbang tapi ketika sesi soal jawab saya bangun dan berhujah bahawa dasar luar DS Najib lebih berat kepada Amerika berdasarkan bukti-bukti empirikal seperti pelantikan arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis sebagai duta bertaraf menteri, mendapat kerusi Majlis Keselamatan PBB, "Golf Diplomacy" dengan Obama dan banyak lagi.

Menilai isi pembentangan yang bernas daripada para pengkaji dan sarjana dasar luar Malaysia tersebut, aqal saya cuba menghubungkan keresahan, kerisauan dan cadangan Tun Mahathir berhubung keperluan adanya "Council of Elders" yang baru-baru ini heboh diperdebatkan oleh ramai pihak kononnya itulah alasan kenapa Tun Mahathir menyerang DS Najib.

Daripada itu saya cuba memahami realpolitik antarabangsa dan sosok Tun Mahathir dalam mencorak dasar luar Malaysia selama 22 tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Para pembentang ungkapkan pelbagai jenis bentuk analisa tentang dasar luar Tun Mahathir yang dikatakan tidak demokratik, "microphone diplomacy" (kelantangannya) dan bermacam-macam lagi yang positif dan negatif tapi saya fikir ada sesuatu yang tidak terungkap akan kekuatan dasar luar Malaysia di bawah Tun Mahathir yang mana seperti dikatakan para pembentang, sebaik saja Tun Mahathir meninggalkan jawatan Perdana Menteri, kekuatan dasar luar tersebut turut luput bersama-samanya. Apakah kekuatan dasar tersebut?

"KEPERCAYAAN" (TRUST).
Dalam semua Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir ada satu kekuatan "Soft Power" yang tiada galang ganti oleh mana-mana pemimpin yang ada dan akan lahir di Malaysia dalam jangka masa sederhana kelak iaitu kemampuan Tun Mahathir untuk membina jalinan diplomatik atas dasar "kepercayaan" yang bersifat peribadi (personal), bukan menggunakan perkakas kenegaraan (state apparatus).

Kelebihan ini membolehkan Tun Mahathir mendapat akses kepada kemudahan diplomasi yang unik seperti mendapat akses kepada pelaburan ekonomi melalui PETRONAS di Sudan (jasa DS Anwar Ibrahim juga amat besar dalam hal ini kerana jaringan aktivisme Islam beliau di Timur Tengah), Vietnam, Timor Leste, dan banyak lagi negara dunia ketiga; mendapat bantuan ekonomi dan perdagangan daripada Jepun, juga dunia Islam. Kemampuan ini lahir sedikit sebanyak kerana dasar luar Tun Mahathir berhubung "prosper your neighbour" yang bersifat "win-win" untuk kedua belah pihak.

Tidak lupa juga jasa penting Tun Mahathir dalam Perang Bosnia. Semua ini mengukuhkan kedudukan negara di mata dunia yang menarik ramai negara-negara sedang membangun untuk menjadi rakan rapat (ally) dengan Malaysia yang selalunya diterjemahkan kepada keuntungan ekonomi dan politik.

Pendek kata, Tun Mahathir adalah "salesman brand Malaysia" paling unggul kerana kekuatan peribadinya yang dipercayai oleh ramai pemimpin dunia ketiga di Asia, Afrika dan Latin Amerika.

Bila Tun Mahathir tidak lagi memimpin negara, nama Malaysia masih harum dan dipercayai oleh negara-negara tersebut yang masih berbekas daripada diplomasi yang Tun Mahathir buat dahulu.

Ini sebenarnya adalah sumber kekuatan untuk kita terus "survive" dari segi ekonomi dan geopolitik

Maka pada hemat saya ketika negara kita berhadapan dengan cabaran ekonomi yang serius khususnya melibatkan penyusutan pendapatan negara daripada hasil minyak dan gas juga komoditi, Malaysia perlukan usaha diplomasi ekonomi yang ada "sentuhan peribadi" daripada Tun Mahathir untuk seperti contoh, membuka akses kepada pasaran di Afrika.

Hanya dengan perutusan surat atau panggilan telefon, Tun Mahathir mampu menyusun atur "high profile trade entourage" untuk negara - seperti contoh membantu PETRONAS masuk semula ke negara-negara Afrika yang kini banyak China yang kuasai.

Beza kita dan China ialah negara Afrika hargai nilai persahabatan kerana Tun Mahathir menerapkan dasar seperti contoh "affirmative action" membangunkan kapasiti kaum peribumi Afrika (contoh ialah ENGEN di Afrika Selatan) manakalah negara China menggunakan kekuatan "cash is king" untuk melabur dan membina infrastruktur.

Sentuhan halus dasar luar Malaysia di bawah Tun Mahathir lebih tulus dan kekal lama berbanding apa yang China buat kepada negara Afrika yang kini dipandang serong seperti ulang siaran dasar penjajahan kuasa Barat yang hanya "expropriate natural resources" (merampas sumber asli).

Bukan itu saja, Tun Mahathir berupaya membuka laluan diplomasi dengan negara kuasa besar seperti Russia (kerana Putin percaya kepada Tun Mahathir) untuk mengimbangi pergolakan di rantau kita antara China dan Amerika.

Di saat inilah sementara beliau masih hidup saya fikir Malaysia dapat susun semula dasar luar negara kita bagi membantu dasar dalam negara khusus melibatkan ekonomi dengan bantuan ilmu, pengalaman dan "networking" (jaringan) Tun Mahathir.

Saya tidak yakin dasar luar negara yang ada kini dapat bantu kita keluar daripada kemelut ekonomi dan politik yang amat mencabar kerana skandal 1MDB juga percaturan menteri kita yang agak pro-Washington dalam kemelut Laut Cina Selatan - semua ini menghakis kepercayaan negara-negara yang jadi rakan rapat dan rakan dagang kita yang utama seperti China.

Ini menyukarkan syarikat-syarikat negara kita untuk mendapat insentif istimewa seperti "credit facility" dalam perdagangan malah juga melibatkan pertahanan.

Kekuatan "soft power" Tun Mahathir yang masih berbekas pada negara akan beransur hilang kalau Tun Mahathir semakin dipinggirkan daripada politik negara.

Di saat kecemasan begini ianya adalah satu kebodohan untuk kita memperkecilkan kekuatan Tun Mahathir yang tidak ada pada mana-mana pemimpin politik baik UMNO atau Pakatan.

Kalau saya seorang Perdana Menteri, saya tidak akan teragak-agak untuk mendengar nasihat Tun Mahathir dan melantik beliau menjadi "Minister Mentor" seperti Lee Kuan Yew kerana kebolehan dan kekuatan "soft power" Tun Mahathir adalah unik dan tidak boleh dibeli daripada mana-mana jururunding (consultant). Mendiang Lee Kuan Yew juga punya kekuatan yang sama seperti Tun Mahathir dalam hal ini - seperti juga almarhum Sukarno yang terkenal dengan gerakan Pan Asia-Afrika.

Semoga Allah lanjutkan usia Tun Mahathir untuk selamatkan negara berbekalkan kudrat yang beliau masih mampu infaqkan seperti halnya "soft power" tadi khusus bagi memudahkan generasi pelapis pemimpin muda untuk mendepani cabaran dan kemelut politik, ekonomi dan geopolitik yang semakin mengganas kini. Amin.

Bangunan Tertinggi Dunia Dibina Di Iraq

$
0
0
BASRA - Sebuah syarikat pembinaan, baru-baru ini mendedahkan pelan sulit berhubung pembinaan menara setinggi 241 tingkat di Iraq, yang bakal mengatasi bangunan Burj Khalifa di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebagai menara pencakar langit ter­tinggi di dunia.

Menurut portal Daily Mail, pembinaan menara gergasi yang akan diberi nama ‘Pengantin Perempuan’ atau ‘The Bride’ itu bakal menjadi mercu tanda ikonik baharu di tengah-tengah bandar Basra di Iraq.

Kompleks menara berkelu­asan 963.7 meter itu akan menempatkan pejabat, hotel, pusat perniagaan, taman, klinik, sekolah, dan juga kawasan perumahan.

Cadangan pembinaan menara bagi memaksimumkan kapasiti di bandar itu pada 2025, dikemukakan oleh syarikat AMBS Architects, namun sebelum ini dirahsiakan atas sebab-sebab keselamatan.

Menurut pengarah syarikat itu, Marcos De Andres, berbeza dengan menara konvensional, menara di Basra itu bakal menjadi tarikan baharu yang boleh dikunjungi, bukan sahaja kepada mereka yang tinggal dan be­kerja di sana, tetapi juga seluruh masyarakat di negara ini.

“Bangunan baharu itu akan dinikmati oleh beribu-ribu orang dengan cara yang tersendiri, sama ada ketika berada di dalamnya, di atasnya atau di kawasan bawah tanah bangunan tersebut.

“Pengunjung boleh memilih untuk berjalan di taman-taman teduh dan kawasan pejalan kaki di permukaan tanah yang luas atau makan tengah hari dan menikmati aktiviti membeli-­belah beratus-ratus meter di atas paras laut,” katanya.

Basra yang mempunyai sebahagian besar daripada rizab minyak di Iraq, merupakan satu daripada pusat perniagaan paling pesat berkembang di dunia serta kawasan pelabuhan utama di negara ini.




Viewing all 2032 articles
Browse latest View live